Kalau dilihat kepada riuh rendahnya gendang serta paluan untuk mendesak agar PRU15 diadakan dengan segera, sama ada sebelum atau ketika sesi perbahasan PAU2021 yang berlangsung Sabtu lalu, sepatutnya sekarang ini sudah pun ada gambaran yang jelas bila Parlimen akan dibubarkan.
Tetapi, kenapa masih tidak ada?
Yang ada hanyalah ketetapan usul yang diluluskan bahawa pemilihan UMNO akan diadakan enam bulan selepas PRU15 diadakan.
Begitu pun, usul tersebut sebenarnya belum pasti benar-benar akan menjadi kenyataan kerana ia masih tertakluk kepada RoS atau Pendaftar Pertubuhan sama ada mahu memberi kebenaran atau sebaliknya.
Bagaimana jika ianya tidak diluluskan oleh RoS?
Sementara semua pembahas PAU2021 tahun ini bagai disusun-atur dengan sempurna untuk menekan serta mendesak Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob agar tidak ada pilihan selain setuju membubarkan Parlimen, apa yang berlaku akhirnya tidaklah seperti yang dijangka.
Selain Ismail Sabri dilihat langsung tidak terkesan atau tertekan dengan semua suara-suara desakan yang ditujukan kepadanya, malah pentas penggulungan PAU2021 akhirnya seperti menjadi miliknya.
Melalui beberapa pengumumannya mengenai keputusan kerajaan seperti pembelaan kepada arwah Adib Kassim yang diberi pampasan RM1.5 juta, penubuhan jawatankuasa siasatan berkaitan Tommy Thomas, pembelaan kepada kaum wanita dengan pembekuan akaun bank bekas suami agar pemberian nafkah terjamin, perkembangan ekonomi dan sebagainya, Ismail Sabri pada petang Sabtu lalu telah berjaya meraih sokongan dan tepukan gemurah dengan perwakilan turut berdiri sebagai tanda terima kasih kepadanya.
Dengan sambutan yang diterimanya, Ismail Sabri kemudian dengan santai dan tenang mengungkapkan soal PRU15 yang didesak agar beliau membubarkan Parlimen dengan segera akan dibincangkan bersama “Top Five” dalam UMNO terlebih dahulu.
Sambil menyeru agar perpaduan dan kesatuan sentiasa dirapatkan bagi memastikan kemenangan, tepukan terhadapnya terus bergema apabila beliau mengatakan tidak akan menunggu walau sesaat pun untuk membubarkan Parlimen kiranya semua pihak sudah bersedia dan kemenangan mampu dicapai.
Menegaskan beliau juga mahu BN menang dan menjadi dominan melalui PRU15, Ismail Sabri terus diberikan tepukan gemuruh dengan perwakilan berdiri beberapa kali sebagai tanda sokongan dan ingin bersama-sama dengannya.
Berikutan intipati dan kebijaksanaan Ismail Sabri dalam penampilannya itu beserta sambutan perwakilan terhadapnya, ucapan pemggulungan Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan selepas itu jadi hambar, tidak menarik, malah seperti kehilangan kata-kata dengan tempoh masa berucap yang pendek saja.
Paling tidak wajar, beliau juga cuba mempengaruhi Ismail Sabri untuk malanggar undang-undang kerajaan dengan meminta Perdana Menteri campurtangan dalam soal permohonan UMNO berkaitan usul yang telah diluluskan.
Bahkan, ucapan Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi kemudian daripada itu, diperkatakan pelbagai pihak sebagai lebih banyak merapu, entah apa-apa serta tidak menarik.
Agaknya kedua-dua mereka sudah bersedia untuk menyerang Ismail Sabri kerana menjangkakan beliau akan berdalih dan terus bersilat daripada menyegerakan PRU15 sebagaimana yang didesak oleh para perwakilan.
Realitinya, dengan mengatakan akan berbincang dengan “Top Five” dalam UMNO mengenai PRU15, selain melalui beberapa pengumuman atas kedudukannya sebagai Perdana Menteri, Ismail Sabri telah berjaya menenggelamkan semua yang bakal berucap selepasnya, di samping dapat mengelakkan lidahnya daripada menuturkan perkataan setuju untuk mengadakan pilihan raya dengan segera dan sebelum pemilihan UMNO.
Dalam hal ini, perbincangan dengan “Top Five” UMNO saja tidak mungkin akan selesai dalam sekali atau dua kali pertemuan, kemudian di bawa kepada MT dan selepas itu mahu tidak mahu, perbincangan dengan parti-parti rakan yang sama-sama membentuk kerajaan pusat tentu saja tidak dapat dielakkan.
Makna kata, banyak lagi proses dan perbincangan harus dilalui selepas ini dan bererti, “game” belum lagi berakhir untuk sesiapa berharap PRU15 pasti diadakan pada tahun ini. – ShahbudinHusin 21/03/2022.