JANJI PELESU 1- MASA INILAH NAK SELESAIKAN KES ADIB-

 


Jawatankuasa khas siasat kes Adib mampu capai pengakhiran muktamad, kata Idrus



Melalui jawatankuasa itu, pihaknya yakin siasatan akan dilakukan tanpa takut dan tanpa bermaksud memberikan keuntungan kepada pihak tertentu bagi mencari kebenaran sebenar, kata Peguam Negara Idrus Harun.

PETALING JAYA: Penubuhan jawatankuasa khas menyiasat kes kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, membabitkan pelantikan 10 individu mampu mencapai pengakhiran muktamad terhadap insiden itu, kata Peguam Negara Idrus Harun.

Beliau berkata, pengakhiran itu diyakini mampu dicapai dalam tempoh enam bulan seperti mana yang ditetapkan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, sebelum ini.

“Ya kita sepatutnya berupaya untuk mencapai pengakhiran muktamad mengikut masa ditetapkan,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Adib cedera ketika rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov 2018 dan meninggal dunia pada 17 Dis 2018, selepas berjuang untuk hidup selama 21 hari.

Oktover lalu, kerajaan menubuhkan jawatankuasa khas bagi memastikan siasatan menyeluruh, telus dan pembelaan sewajarnya terhadap kes kematian Adib.

Jawatankuasa khas bagi menyiasat kes kematian Adib dianggotai sepuluh individu merangkumi menteri, pakar perundangan, perubatan dan panel siasatan polis.

Selain Idrus, pasukan itu turut disertai bekas Hakim Mahkamah Rayuan Kamardin Hashim, Pakar Perunding Patologi Forensik, RCSI dan University College of Dublin (UCD) Kampus Malaysia (RUMC) Dr Bhupinder Singh dan Profesor Ulung Fakulti Perubatan Universiti Malaya (UM) Dr Looi Lai Meng.

Ia turut dianggotai bekas profesor madya di Universiti Sains Malaysia (USM) yang juga pengamal undang-undang, P Sundramoorthy, Ketua Penolong Pengarah (D10) Forensik Azari Abd Rahman dan Ketua Pusat Pengajian Sains Penyiasatan dan Pendakwaan Mohammad Abd Hamid.

Sementara itu, Sundramoorthy berkata, matlamat utama penubuhan jawatankuasa itu adalah bagi mencari kebenaran dengan hanya berdasarkan fakta tanpa mengira warna kulit melalui siasatan yang bersifat menyeluruh serta komprehensif.

Beliau berkata, melalui jawatankuasa ini, pihaknya yakin siasatan akan dilakukan tanpa takut dan tanpa bermaksud memberikan keuntungan kepada pihak tertentu bagi mencari kebenaran sebenar.

Katanya, ini kerana kejayaan mencari kebenaran melalui jawatankuasa ini adalah penting untuk membawa kebaikan kepada masyarakat, sekali gus menutup mulut mereka daripada mitos yang diperkatakan sebelum ini.

“Kita hendak cari semua fakta yang terdiri daripada kebenaran berkaitan kematian Adib dan ini adalah cabaran berat untuk pasukan kami.

“Namun, kami yakin dapat memenuhi semua tanggungjawab yang diberikan oleh kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, jawatankuasa ini memainkan peranan penting untuk menyiasat kes terbabit bagi mendapatkan gambaran sepenuhnya daripada waktu bermulanya insiden sehingga pelaksanaan inkues sebelum ini.

“Kita menyambut baik usaha kerajaan yang mahu menyelesaikan isu ini melalui penubuhan jawatankuasa terbabit kerana ia boleh merungkaikan segala mitos dalam masyarakat,” katanya.

No comments: