Macam mana PN mahu rampas Selangor, Putrajaya belum tentu selamat? - Halimey

 


Kenyataan Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan kononnya Perikatan Nasional (PN) akan merampas Selangor dalam pilihan raya akan datang sebagaimana dilapor Sinar Harian semalam, dipertikaikan oleh Ketua Penerangan KEADILAN Selangor, Halimey Abu Bakar.

Menurut Halimey, Wan Saiful tidak perlu 'mengacau' politik Selangor dengan ramalan tidak berfakta seperti itu. Wan Saiful sendiri kalah di kampung halaman beliau, Parlimen Pendang, dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14.

Malah, katanya demografi dan aliran pemikiran politik rakyat Selangor amat berbeza dengan Kedah atau negeri-negeri di Utara Semenanjung di mana politik Wan Saiful bertapak.

"Sebagai sebuah negeri maju sememangnya Selangor menjadi tumpuan untuk diambilalih pentadbirannya. Namun dengan inisiatif-inisiatif khas dari Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Datuk Seri Amiruddin Shari kepada segenap lapisan rakyat tanpa mengira latar belakang kaum, agama mahupun politik, Kerajaan Negeri pada hari ini semakin mendapat tempat di hati rakyat

"Pada PRU14, Pakatan Harapan (PH) memenangi 51 daripada 56 kerusi DUN. Ini jelas menunjukkan sokongan dan keyakinan rakyat Selangor kepada kerajaan PH. Walaupun beberapa kerusi telah dicuri oleh mereka yang tiada maruah, namun Kerajaan Selangor dengan jumlah 41 kerusi pada hari ini masih lagi berdiri kukuh. Kenyataan (Wan Saiful ini) dangkal dan tidak masuk akal," katanya.

Sebaliknya, Ahli Dewan Negeri Sri Setia itu mempersoalkan perjuangan PN yang kini semakin dipersoalkan rakyat, khususnya Pas yang membisu daripada memperjuangkan negara Islam sebagaimana sebelum PRU ke 14 lalu.

Sikap seperti itu, katanya akan menjauhkan sokongan kepada PN dalam PRU akan datang.

"Teman setia PN ialah Pas. Umum ketahui, Pas adalah parti yang sentiasa punya alasan terkini bagi setiap pendirian mereka. Contohnya, apabila jadi pembangkang, gegak gempita memperjuangkan RUU355. Namun apabila menjadi kerajaan, usahkan berbunyi, menguit pun tidak dan sehingga kini kita pun keliru ke mana hala tujuan Pas di Negeri Selangor. Seperti tikus jatuh ke beras, terutama setelah menjadi Menteri dalam Kerajaan pintu belakang.

"Mereka punya beribu alasan, cuma memilih yang mana satu untuk digunakan. Adalah satu kesilapan besar untuk parti Wan Saiful menjadikan parti yang tidak mempunyai pendirian ini sebagai teman berlari. Rakyat Selangor sangat muak dengan kombinasi parti yang tiada maruah, menjadi pencuri kerusi dan parti yang suka mengguna pelbagai alasan untuk menghalalkan cara," katanya.

Halimey turut mempertikaikan cabaran Wan Saiful untuk merampas Selangor pada ketika PN sendiri tidak mampu menjamin mereka akan kekal di Putrajaya, selepas Umno secara rasmi menarik diri daripada perikatan itu pada PRU akan datang.

"Tatkala sibuk mendendangkan khayalan dan sendaloka palsu untuk mengambilalih pemerintahan Negeri Selangor, Kerajaan Pusat pimpinan Perikatan Nasional (PN) seperti diledakkan sebiji bom apabila Umno mengumumkan menamatkan kerjasama dengan mereka."Kerajaan Pusat pimpinan PN sedang membilang hari-hari akhir di singgahsana Putrajaya. Jadi, eloklah Wan Saiful menumpukan sahaja usaha-usaha menyelamat Kerajaan PN yang entah esok atau lusa akan berakhir riwayatnya, dari bercakap berkaitan mengambilalih tampuk pimpinan Kerajaan Selangor," katanya lagi.

Justeru, Halimey mencabar Wan Saiful bertanding di mana-mana kerusi di Selangor untuk menguji populariti beliau.

Katanya, jika sejarah menunjukan rakyat Pendang menolak Wan Saiful apatah lagi rakyat Selangor yang sememangnya benci dengan mereka yang telah khianat kepada perjuangan parti.