KUARANTIN 3 HARI UNTUK MENTERI ADALAH SALAH.MELUASKANNYA KEPADA AWAM LAGI LAH SALAH.

 

Hampir tidak ada pihak yang setuju dengan keputusan Menteri Kesihatan, Dr. Adham Baba melonggarkan tempoh kuarantin bagi menteri-menteri yang pulang dari luar negara daripada 10 hari kepada hanya 3 hari.

Rata-rata mengkritik keputusan itu dan menyifatkan ianya sebagai bukti wujudnya dua set peraturan yang berbeza antara menteri atau golongan orang kayangan dengan rakyat biasa.

Selain itu, keputusan tersebut juga dilihat sebagai petunjuk tidak seriusnya kerajaan untuk menangani Covid19, walaupun dalam masa yang sama PKP dan juga darurat telah dikuatkuasakan.

Ini kerana melonggarkan kuarantin hanya kepada tiga hari bagi menteri-menteri adalah tindakan salah dari segi fakta sains memandangkan tempoh mengeram virus Covid19 adalah 7 hari.

Beberapa kes sewaktu PRN Sabah sebelum ini menunjukkan ada pemimpin politik yang diuji negatif dalam tempoh 3 hari selepas tiba di KLIA, namun kemudiannya didapati positif setelah ujian kali kedua tiga empat selepas itu.

Sehubungan itu, ramai pihak, termasuk beberapa pakar kesihatan sendiri tampil mengkritik Dr. Adham dan menyatakan, daripada memberi kelonggaran itu, lebih baik tiada kurantin terus.

Begitu pun, Dr. Adham yang sebelum ini dikritik kerana memberi petua palsu mengenai air suam boleh membunuh virus Covid19, tetap mempertahankan tindakan melongggarkan tempoh kuarantin atau memberi keistimewaan untuk menteri-menteri itu.

Beliau memberi alasan ia dilaksanakan untuk kepentingan ekonomi.

“Sebelum ini saya dapat mengunci negara, sekarang saya dapat membuka negara.

“Saya harus melakukan sesuatu yang baik untuk negara kita,” katanya.

Bersekali dengan itu, barangkali untuk meredakan kemarahan ramao, Dr. Adham berkata, kelonggaran tiga hari tersebut mungkin akan diperluaskan kepada ahli-ahli perniagaan dan orang awam pada masa akan datang.

“Kita buat pada menteri dulu sebab menteri senang buat perintah sebelum kita buka kepada orang lain seperti ahli perniagaan misalnya,” tambah beliau lagi.

Bagi Dr. Adham, tempoh kuarantin 10 hari telah menjadi penghalang kepada para pelabur juga orang kenamaan asing yang ingin datang ke Malaysia.

“Sebab kerajaan melakukan ini adalah untuk memastikan kita dapat membuka ekonomi kita” tegasnya.

Dengan kenyataan ini, sekali lagi Dr. Adham sekali telah melakukan kesalahan dan tindakan yang bertentangan dengan usaha kerajaan menangani Covid19.

Pergerakan di dalam negeri dengan kunjungan ke luar negara atau melibatkan orang luar masuk ke negara ini haruslah dilihat daripada sudut yang berbeza.

Jika menteri yang diberi kelonggaran kuarantin selama 3 hari pun dianggap berisiko menyebarkan virus Covid19, apatah lagi kalau diperluaskan kepada ahli perniagaan, orang awam dan pelabur dari luar negara.

Kenapa Dr. Adhm tidak mampu melihat dengan lebih jauh soal ini?

Tetapi, jika Dr. Adham terus berdegil dan seolah-olah tidak nampak bahaya penularan Covid19 dengan keputusan yang diambilnya, beliau sebenatnya memang tidak layak memegang jawatan Menteri Kesihatan.

Sudahlah dalam banyak keadaan, kelibatnya lebih banyak hilang daripada dirasakan wujud, sesekali membuat keputusan pula langsung tidak menunjukkan ada kewibawaan.

Bahkan, beliau boleh dianggap sebagai Menteri Kesihatan paling teruk berbanding semua penyandang jawatan tersebut sebelum ini.

Ini bermakna, kempen #AdhamBabaLetakJawatan belum boleh dihentikan, sebaliknya mesti terus diperhebatkan lagi sehingga bukan saja beliau harus ditekan agar berundur, malah kerajaan yang ada ini pun wajib dicampakkan ke dalam longkang melalui kuasa undi yang dimiliki rakyat. 

(Shahbudindotcom 11/02/2021)



No comments: