Azmin, Saifuddin ‘belasah’ menteri Umno dalam mesyuarat Kabinet
2020-11-01 Admin
Muhammad Afiq
MENTERI Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali “membelasah” menteri Umno dalam mesyuarat Kabinet kerana mengeluarkan kenyataan menyokong titah Yang di-Pertuan Agong menolak cadangan darurat.
Menurut sumber, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad antara yang menjadi mangsa kepada menteri kanan itu.
Selain Azmin, turut “menyerang” menteri dari Umno ialah Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah.
“Noraini antara menteri dari Umno yang menjadi mangsa ‘dibelasah’ Azmin dan Saifuddin dalam mesyuarat Kabinet kerana mengeluarkan kenyataan menjujung titah Yang di-Pertuan Agong.
“Noraini mengeluarkan kenyataan atas kapasitinya sebagai Ketua Wanita Umno.
“Bagaimanapun ia tidak disenangi Azmin dan Saifuddin yang kemudiannya Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut bersuara menegur menteri Umno kerana ‘tidak sehaluan’ dengan kerajaan yang inginkan darurat,” katanya kepada Malaysiapost.
Sumber berkata, tindakan ini membuatkan pemimpin Umno “marahkan” Muhyiddin yang dilihat gagal mengemudi kerajaan.
Sebelum ini Noraini yang juga Ketua Wanita Umno menjujung titah Yang di-Pertuan Agong menolak pengisytiharan darurat bagi menangani Covid-19.
Noraini juga bersetuju dengan cadangan Umno untuk melakukan “gencatan politik” bagi memberi ruang kepada kerajaan untuk fokus pada usaha melawan penularan wabak Covid-19.
Terdahulu, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi hari ini mempersoalkan kejujuran politik perdana menteri.
Dalam satu kenyataan, Mohd Puad mendedahkan ada pemimpin Umno “dibelasah” mesyuarat Kabinet yang berlangsung beberapa hari lalu.
“Kalau ada ‘kejujuran politik’ sudah tentu menteri- menteri Umno tidak dibelasah dalam “Zoom Cabinet Meeting” Rabu lalu.
“Umno jadi sasaran kerana menteri Umno menyokong keputusan Majlis Raja Raja yang menolak pengisytiharan darurat. Kononnya nenteri Umno tidak mengamalkan ‘collective responsibility’.
“Itu sebabnya Biro Politik Umno cadangkan terma baharu dan hitam putih. Umno mahu hubungan dalam Kerajaan Perikatan Nasional (PN) berasaskan konsensus parti dan kejujuran politik,” kata Mohd Puad. - Malaysiapost