SHAH ALAM – Kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dirancang
sejak hari pertama menjadi kerajaan, dakwa bekas Naib Presiden Parti Amanah
Negara (Amanah), Senator Husam Musa.
Menurutnya, perkara itu sudah banyak kali dimaklumkan kepada
pucuk pimpinan parti sejak tahun lalu, termasuk kepada Timbalan Presiden
Amanah, Salahudin Ayub.
Dakwa beliau, salah satunya sikap Dr Mahathir Mohamad ketika
menjadi Perdana Menteri apabila melengah-lengahkan pelantikan senator dalam
kalangan parti PH.
“Saya masuk (jadi senator) selepas PH jatuh tapi ada 16
kekosongan senator pada zaman PH. Tun (Mahathir) macam sudah simpan orang untuk
dilantik kemudian di Dewan Negara macam Zahid Mat Arip dan Tengku (Datuk Seri)
Zafrul (Tengku Abdul Aziz) dan lain-lain.
“Ia (Dewan Negara) kini ia dikuasai oleh sebelah sana (kerajaan
Perikatan Nasional).
“Bagi saya kejatuhan PH dirancang daripada awal, strateginya
berjalan sendiri sampai masa 'tup' jatuh, cuma tarikh tidak tentu, tidak tetap,”
katanya pada Sembang Santai Politik: Kejatuhan PH adalah satu rancangan di DHM
Channel seperti dilaporkan portal berita Malaysia Gazette hari ini.
Tambah Husam, Ahli Parlimen Langkawi itu sengaja
melambat-lambatkan pelantikan senator, sebaliknya segera membuat keputusan
dalam banyak isu lain.
“Setiap sesuatu yang berlaku ada petanda oleh ALLAH termasuk
kiamat yang ada tanda-tanda kecil dan besar sebelum ia berlaku.
“Sekiranya pembangkang sekarang mahu menggunakan jurutera yang
sama (Mahathir) bagi merampas kerajaan, ia hanya membuang masa.
“Kita (PH) sangkut kerana tak ‘move forward’. Banyak cara lagi,
bukan kata senang tapi selain Tun M jadi PM (semula) ada beratus lagi jalan
yang ada,” katanya.
Dalam pada itu, mengenai dakwaan kononnya ada kerjasama antara
Mahathir dengan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah untuk
menubuhkan kerajaan Perpaduan, beliau menganggap ia membuang masa.
“Saya dengar Tun enam bulan jadi PM, Ku Li (Tengku Razaleigh)
pun enam bulan, ini buang masa. Saya sudah sampaikan salam kepada orang yang
baik dengan Ku Li, baik dia kerjasama dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Justeru, pucuk pimpinan parti perlu mengambil kira pandangan
minoriti dalam PH. Kalau makan kari Pelita (kedai mamak) hari-hari mana nak?”
soalnya.