Kakitangan Dewan Negara positif Covid-19, sidang Parlimen ditamatkan awal

 

Sidang Dewan Rakyat terpaksa ditamatkan lebih awal hari ini iaitu pada pukul 1 tengah hari setelah beberapa kakitangan Dewan Negara didapati positif Covid-19.

 

Perkara itu diusulkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan dalam mesyuarat khas tergempar yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Azhar Azizan Harun.

 

Katanya, mesyuarat itu dihadiri oleh semua wakil parti dengan Pakatan Harapan (PH) diwakili oleh Ahli Parlimen Sg Petani, Datuk Johari Abdul (KEADILAN), Ahli Parlimen Hulu Langat, Datuk Hasanuddin Yunus (AMANAH) dan Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke (DAP).

 

Takiyuddin berkata, semua wakil parti termasuk pembangkang bersetuju dengan usul untuk memendekkan tempoh perbahasan di Parlimen pada minggu ini, dengan tidak mengadakan sidang di sebelah petang.

 

"Beberapa kakitangan Dewan Negara disahkan positif Covid-19 dan dijangka ada ahli Dewan Negara kemungkinan positif kerana pegawai itu 'attach' kepada ahli dewan dan mempunyai kaitan keluarga jadi perkembangan ini membimbangkan kita.

 

"Saya sendiri berada di parlimen 4-5 hari sehingga semalam untuk mengadakan proses sanitasi oleh unit hazmat dari bomba dan satu sesi ambil masa lebih dari dua jam.

 

"Dewan Parlimen juga dibuat sanitasi setiap pagi bermula 7 pagi sehingga 9 lebih untuk kita bersidang tetapi kami dinasihatkan oleh KKM bahawa risikonya amat tinggi, itu terma yang digunakan. KKM berkata lebih lama kita bersama risikonya akan menjadi lebih tinggi.

 

"Jadi usul ini bawa tanpa prejudis tapi ia mungkin hanya untuk minggu ini," katanya.

 

Bagaimanapun, apabila dipersoal oleh pembangkang, Takiyuddin menegaskan bahawa pihak kerajaan akan memastikan ia tidak menjejaskan sesi perbahasan untuk setiap usul dan rang undang-undang yang akan dibentangkan di Parlimen.

 

"Satu norma baru berhubung persidangan terpaksa diambil, dengan syarat apa yang dilakukan oleh pihak kerajaan dan dewan tidak menjejaskan hak ahli parlimen untuk bertanya soalan untuk berbahas dan untuk mengundi.

 

"Pihak parlimen juga akan kendalikan satu tatacara pentadbiran yang melibatkan kehadiran ahli parlimen dan keluar masuk dewan.

 

"Ketua parti akan diberikan arahan dari semasa ke semasa bagi memenuhi segala SOP yang ditetapkan oleh parlimen.

 

"Satu persetujuan bersama dan konsensus telah dicapai, malah wakil ketua pengarah kesihatan turut hadir dalam mesyuarat. Jadi mengambil kira pandangan semua pihak, langsung tidak ada prejudis terhadap persidangan ini," katanya.