Teresa harap majikan sokong langkah kerajaan PH naikkan gaji minimum



Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) digesa supaya menyokong langkah kerajaan Pakatan Harapan (PH) menaikkan gaji minimum kepada RM1,200 bagi pekerja di 57 kawasan bandar bermula tahun depan.
Menteri Industri Utama, Teresa Kok berkata, langkah berkenaan tidak memberi beban besar kepada majikan, malah selaras dengan kos sara hidup tinggi di bandar serta kadar inflasi semasa. 
“Saya berharap MEF boleh memahami dan menyokong langkah yang diambil kerajaan PH untuk menaikkan gaji minimum kepada RM1,200 pada tahun 2020. 
“MEF seharusnya maklum bahawa kenaikan gaji ini akan meningkatkan kuasa beli rakyat dan seterusnya memangkin pembangunan ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 
Pada 18 Disember lalu, Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran mengumumkan pelaksanaan gaji minimum RM1,200 di 57 bandar di seluruh negara bermula pada 1 Januari 2020.
Bandar raya utama yang terbabit ialah Johor Bahru, Iskandar Puteri, Alor Setar, Melaka Bersejarah, Pulau Pinang, Seberang Perai, Ipoh, Shah Alam, Petaling Jaya, Kuala Terengganu, Kuching Utara, Kuching Selatan, Miri, Kota Kinabalu dan Kuala Lumpur, manakala bandar utama ialah Batu Pahat, Kluang, Kulai, Muar, Segamat, Pasir Gudang, Kulim, Sungai Petani, Langkawi, Kubang Pasu serta Kota Bharu.
Turut tersenarai ialah bandar Alor Gajah, Jasin, Hang Tuah Jaya, Seremban, Nilai, Port Dickson, Jempol, Kuantan, Temerloh, Bentong, Manjung, Kuala Kangsar, Taiping, Teluk Intan, Kangar, Ampang Jaya, Kajang, Klang, Selayang, Subang Jaya, Sepang, Kemaman, Dungun, Padawan, Sibu, Kota Samarahan, Bintulu, Sandakan, Tawau, Labuan dan Putrajaya.
Kementerian Sumber Manusia juga menzahirkan komitmen untuk terus menyemak kadar gaji minimum bagi memastikan ia sejajar keperluan semasa dan selaras hasrat mencapai kadar gaji minimum RM1,500 sebulan dalam tempoh lima tahun pertama pentadbiran kerajaan PH. 
Langkah berkenaan bagaimanapun tidak mendapat sambutan positif daripada Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) Shamsuddin Bardan. 

No comments: