Rakyat Malaysia buktikan perubahan boleh berlaku secara demokratik dan aman


Rakyat Malaysia telah membuktikan kepada dunia bahawa sistem demokrasi masih memiliki harapan menjana perubahan secara demokratik dan aman demi memperbetulkan semula landasan negara.
“Kita telah membuktikan bahawa  sistem demokrasi negara kita masih ada harapan – meski memiliki masyarakat majmuk dengan kepelbagaian suku bangsa, agama, bahasa dan kebudayaan, Malaysia berupaya menjalani perubahan secara demokratik dan aman,” kata tokoh veteran DAP, Lim Kit Siang.
Menurutnya, di sebalik permainan politik berasaskan kaum, agama, ketakutan dan pembohongan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), pengundi telah nekad dan memilih untuk keluar daripada acuan politik perkauman dan ketakutan.
“Saya ingin melihat demokrasi bangkit semula di Malaysia, bukan sahaja daripada pihak media dan masyarakat sivik tetapi juga memiliki barisan pembangkang yang kuat,” katanya.
Namun, terdapat perbezaan yang ketara bagaimana untuk memiliki sebuah pasukan pembangkang yang kuat, kata Kit Siang.
“Ada yang berpandangan bahawa rakyat mungkin perlu memaafkan segala kejahatan besar, pengkhianatan dan kelemahan oleh kerajaan BN sebelum ini.
“Saya tidak mahu UMNO mati, tetapi adalah terlalu naif bagi mereka untuk memaafkan jenayah yang dilakukan UMNO-BN yang telah menjadikan Malaysia sebagai bahan jenaka dunia dan menjadi negara kleptokras global,” katanya.
Kit Siang berkata, UMNO-BN tidak akan memperoleh kredibiliti sebagai pembangkang selagi tidak bersedia untuk mengakui dua jenayah pengkhianatan terbesar terhadap negara iaitu menjadikan Malaysia sebagai negara kleptokrasi global dan menjadi peneraju politik kebencian memainkan sentimen agama, kaum, ketakutan.

No comments: