KUALA LUMPUR, 7 JUN: Kajian perbandingan harga keperluan runcit bagi sebuah pasaraya yang dijalankan oleh badan pemikir REFSA baru-baru ini mendapati, harga barang meningkat pada peratusan yang sangat membimbangkan selepas pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).
Kajian tersebut yang membandingkan harga-harga barang keperluan harian antara tahun 2010 sehingga 2017 dengan meneliti risalah-risalah lama pasaraya tersebut memperlihatkan angka-angka yang memeranjatkan.
Pek isian semula Milo 1kg mencatatkan kenaikan 40.03 peratus iaitu RM20.99 pada tahun 2017 berbanding hanya RM18.99 pada tahun 2013.
Walaupun tidak dikenakan GST, harga paha ayam bagi setiap kilo turut mengalami kenaikan sebanyak 52.46 peratus daripaa RM6.59 (2013) kepada RM9.59 (2017).
Kopi pra-campuran yang dijual pada harga RM7.99 pada tahun 2012 mencatatkan kenaikan sehingga 75% apabila ia dijual pada harga RM13.99 pada tahun ini.
Barang-barang keperluan lain seperti beras, makanan sejuk beku, sabun basuh baju, susu pekat dan sebagainya lagi turun mencatatkan kenaikan purata 40% seperti dalam rajah di bawah:
Di sebalik dakwaan kononnya pelaksanaan cukai GST sebagai adil kerana setiap individu akan membayarnya – sekaligus menambah pendapatan negara, ia ternyata terus memberi kesan susut nilai kepada kocek setiap rakyat di negara ini.
Bagi golongan muda yang terdedah dengan gaya hidup bandar – makan di restoran, gadget, pengangkutan awam, parkir, tol, termasuk aktiviti sosial malam minggu, GST memberi kesan langsung terhadap perbelanjaan harian mereka.
Tinjauan Roketkini di sebuah kompleks membeli belah popular di ibu negara baru-baru ini mendapati, semua responden yang terdiri dari kalangan golongan muda bekerja memberi isyarat ‘tidak’ kepada pelaksanaan GST.
Perhatian yang diberikan golongan muda terhadap pelaksanaan cukai membebankan tersebut jelas ketara apabila responden cakna dengan perubahan setiap sen yang mereka belanjakan.
Apabila ditanya wajarkah GST dinaikkan lagi untuk menambah kantung negara,Shafiqah, 23, yang mengakui rasa terbeban dengan cukai itu menyatakan tidak bersetuju malah memberi pandangan sebaliknya.
“Tak setuju, rasanya 6 peratus ni dah cukup. Ya, ada rasa terbeban. Macam kalau kita ke restoran, 6 peratus (GST) dia caj, lepas tu ‘service charge’ restoran punya pun dia caj dah jadi (semuanya) lebih enam peratus,” katanya yang kini sudah bekerja.
Ditanya pandangannya bahawa cukai terbabit akan dikembalikan kepada pembangunan untuk masyarakat, beliau tersenyum sinis dan hanya berkata ia langsung tidak dirasai.
“Kalau boleh (kerajaan) kaji semula peratusan untuk GST,” katanya lagi.
Berkongsi pandangan yang serupa, Kenny, 33, berkata kadar 6 peratus yang dikenakan dalam GST sudah memberi kesan kepada perbelanjaannya.
“GST 6 peratus juga sudah beri kesan (pada perbelanjaan harian). Kalau boleh, GST ini diturunkan sebab saya rasa, orang biasa sudah terbeban dengan cukai itu,” katanya.
‘Harga barang turun’
Dongeng kerajaan kononnya ‘harga barang akan turun kerana GST’ sekadar menjadi penyedap telinga, faktanya, ‘harga barang masih meningkat kerana GST’. Malah, kumpulan rakyat berpendapatan rendah lebih terjejas dengan pelaksanaan cukai itu.
Realitinya, sama ada GST dilaksanakan atau tidak, kerajaan masih gagal menangani kenaikan harga keperluan rakyat – apalagi jika kadar 6 peratus itu wujud dalam resit pembelian anda!
Arif, 23, pula berpandangan bahawa beban GST akan lebih dirasakan mereka yang berpendapatan sederhana dan ke bawah.
Mengakui tidak bersetuju dengan pelaksanaan GST, beliau berkata purata pendapatan rakyat negara ini masih di tahap rendah.
“Mungkin bagi golongan kelas ekonomi pertengahan dan ke atas mungkin ‘okay’lah tapi purata (pendapatan) dalam kalangan rakyat Malaysia yang biasa masih rendah.
“Bagi pendapat saya, kalau nak laksanakan masih boleh tapi rendahkan lagi jadi 4 peratus atau 2 peratus lebih kurang macam tu,” katanya yang bekerja di sebuah syarikat perkapalan Singapura.
Menurut Arif, kenaikan kadar harga sesuatu barangan masih meningkat meskipun kerajaan memansuhkan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) 10 peratus dimansuhkan.
“Kalau nak ceritakan pasal ni, rasanya masa cukai SST kemudian GST, kerajaan tak tolak pun SST 10 peratus, maknanya kita bayar 16 peratus bukannya 6 peratus.
“Contohnya kalau pergi shopping, dulu sebelum GST misalnya beli seluar harga RM50 (ada SST), tapi bila ada GST harga tu jadi lebih. Sepatutnya harga jadi lebih kurang; RM50 kurang 10 peratus SST tambah 6 peratus GST – sepatutnya kurang. Tapi, sekarang dah jadi lebih daripada RM50.
“Tak taulah kerajaan kutip banyak ke kurang tapi kalau ikut logik memang lebihlah,” katanya.
Meski GST diunjurkan memberi pulangan sebanyak RM42 bilion kepada kerajaan pada tahun 2017, tanpa pengurusan yang telus dan cekap, kerajaan akan tetap gagal mencapai objektifnya.
Mengulas hal ini, Adun Damansara Utama Yeo Bee Yinmenyifatkan pertumbuhan KDNK negara yang baru sahaja diumumkan kerajaan tidak dirasai oleh rakyat di bawah.
“Kerajaan baru sahaja mengumumkan angka pertumbuhan KDNK sebanyak 5.2%.
“Namun bagi rakyat biasa, gaji mereka tetap tidak bertambah atau tidak dapat mengejar peningkatan kos sara hidup ekoran inflasi disebabkan pelaksanaan cukai GST,” ujarnya.
Menurut Bee Yin, struktur ekonomi Malaysia menyebabkan kekayaan yang dihasilkan negara yang diterjemahkan melalui KDNK tersebut tidak dinikmati secara sekata.
“Ia hanya tertumpu kepada mereka yang berada di atas ‘piramid’ ini. Bukan rakyat biasa seperti kita semua,” tegasnya.
Cukai GST mula dilaksanakan pada 1 April 2015 setelah dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Parlimen dalam ucapan belanjawan pada 25 Oktober 2013. Ia disokong oleh 118 Ahli Parlimen Barisan Nasional