Dua keping gambar sensitif ugut Ketua Armada, Syed Saddiq
Mereka memberi amaran kepada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang nama keluarganya akan terconteng arang jika beliau mendedahkan umpan RM5 juta untuk mengkhianati Bersatu.
Pada awal Rabu, mereka membuktikan amaran itu bukan cakap kosong. Mereka mengirimkan kepadanya dua keping gambar yang boleh merosakkan nama keluarganya.
Gambar-gambar itu dikirimkan melalui aplikasi Telegram berserta amaran tidak mendedahkan identiti mereka yang cuba merasuahnya supaya meninggalkan Bersatu dan mengecam Pengerusi Pakatan Harapan, Dr Mahathir Mohamad.
“Laporan polis yang difailkan oleh Syed Saddiq bukan tentang dirinya tetapi untuk melindungi keluarganya,” kata seorang sumber kepada The Malaysian Insight.
Ketua Pemuda Bersatu itu sebelumnya diugut nama keluarganya akan tercemar jika beliau tidak menerima tawaran habuan RM5 juta itu serta meninggalkan Malaysia untuk menyambung pengajian di Universiti Oxford, United Kingdom.
Menurut sumber, ketika Syed Saddiq mengadakan sidang media mendedahkan umpan RM5 juta dan ancaman terhadap keluarganya, beliau tidak tahu menahu tentang “gambar-gambar sensitif” itu.
“Dan apabila dia mengumumkan akan membuat laporan polis, dia menerima nota ugutan mengancamnya untuk tidak mendedahkan orang yang berhubung dengannya, dan sebagai bukti mereka serius, mereka mengirimkan gambar-gambar itu,” kata sumber berkenaan.
Polis kini bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana laporan tersebut melibatkan unsur rasuah.
Ketua Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata SPRM kini mengetuai penyiasatan tersebut dan perkembangannya sudah dimaklumkan kepada Syed Saddiq.
“Kita masih membincangkan kes ini dengan SPRM dan akan membuat keputusan tidak lama lagi apakah penyiasatan ini akan dibuat secara berasingan,” kata Fadzil.
Syed Saddiq memberitahu The Malaysian Insight malam tadi polis sudah menyoal siasat beliau berkenaan laporannya itu.
“Saya sudah selesai bertemu dengan polis dan pegawai Cawangan Khas dan mereka memberikan pertolongan yang sewajarnya kepada saya,” katanya.
Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan dengan lebih lanjut perkara itu kerana masih dalam siasatan pihak berkuasa.
“Saya masih belum ke SPRM lagi. Perkara ini berkait antara satu sama lain. Saya akan buat laporan (kepada SPRM) tidak lama lagi.”
Dalam siri kenyataan di Twitter semalam, Syed Saddiq berikrar kalau keluarganya “diserang”, beliau akan menyerang balik “tidak seperti sebelumnya”.
Ketika mendedah cubaan mengumpannya itu, Syed Saddiq berkata beliau didekati oleh sekumpulan ahli politik dan perniagaan yang mendakwa bertindak atas arahan seorang penasihat kanan kepada Perdana Menteri Najib Razak. Beliau juga menamakan penasihat itu.
Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad, semalam bagaimanapun dipetik berkata orang yang dinamakan oleh Syed Saddiq tidak bekerja di Pejabat Perdana Menteri.
Namun Syed Saddiq memberitahu The Malaysian Insight: “Saya kata dia orang kanan perdana menteri. Saya tidak pernah kata dia kakitangan Pejabat Perdana Menteri.”