Setiap undi untuk PAS sebenarnya menangkan UMNO


SUBANG JAYA, 8 SEPT: Tindak tanduk PAS setelah berpisah dari Pakatan Rakyat jelas menunjukkan parti itu cenderung memenangkan UMNO-Barisan Nasional (BN) yang terpalit dengan skandal rasuah terbesar 1MDB.
Pengerusi DAP Subang Jaya, Nor Miswary Ramli berkata, setiap undi kepada PAS dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) memberi keuntungan kepada BN.
“Ketika seluruh dunia mempersoalkan isu skandal 1MDB ciptaan BN, PAS pula melakukan yang sebaliknya. Mereka malah menyambut baik dan berpuas hati pula dengan pelan rasionalisasi 1MDB yang diberikan oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Arul Kanda Kandasamy,” katanya.
Hubungan baik PAS-UMNO juga semakin ketara apabila menolak kerjasama politik dalam Pakatan Harapan (HARAPAN) dan mengisytihar untuk meletakkan calon di 100 kerusi parlimen.
Apa yang lebih ketara adalah kenyataan angkuh pemimpin PAS untuk menawan Selangor termasuk menawan kerusi milik Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali.
“PAS hanya mahu cuba kekal berkuasa di wilayahnya sendiri seperti di Kelantan dan rela UMNO/BN kekal di Putrajaya berbanding HARAPAN.
“Mereka lebih memerlukan UMNO dalam strategi king maker ini. Strategi ini jelas kepada rakyat bahawa 1 undi kepada PAS adalah 1 undi untuk membuka jalan untuk BN kekal bertahan,” katanya lagi.
PAS guna skrip lapuk UMNO
Kecenderungan PAS menjalin kerjasama dengan UMNO turut mendapat bidasan Ketua ARMADA Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang menganggap tindak-tanduk PAS saat ini dipengaruhi  tskrip lapuk UMNO.
“Dulu PAS lah yang menentang habis-habisan dan menolak politik perkauman tetapi sekarang PAS pula yang mewujudkan api perkauman.
“PAS ini tidak ubah seperti UMNO yang cuba menggunakan isu kaum untuk menarik undi dengan menakut-nakutkan orang Melayu terhadap DAP supaya mereka tidak mengundi pembangkang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Membidas tohmahan PAS terhadap DAP, Syed Saddiq berkata DAP tidak mampu membentuk kerajaan secara bersendirian meskipun memenangi kesemua kerusi yang ditandinginya tanpa majoriti komponen HARAPAN yang lain.
Manakala BERSATU pula jelasnya merupakan parti pribumi yang memperjuangkan hak-hak orang Melayu-Islam tanpa mengenepikan hak-hak kaum yang lain.
“Bukan DAP yang mendominasi Pakatan Harapan, kita juga ada Parti Keadilan Rakyat dan Parti Amanah Negara dimana majoriti daripada ahli parti itu adalah Melayu dan Islam
“Mungkin betullah apa yang dikatakan selama ini, PAS selepas zaman Arwah TGNA telah pun hilang arah. Sangat sayang sekali,” katanya lagi.


No comments: