Hutang Felda diunjur mencecah RM12.6 bilion, kata Rafizi


Felda
Kegagalan Felda membentangkan laporan kewangannya bagi tahun kewangan 2015 dan 2016 mendorong ahli parlimen Pandan Rafizi Ramli melakukan unjuran hutang ditanggung agensi terbabit yang kini dianggarkan berjumlah RM12.6 bilion.
Malah naib presiden PKR itu berjanji akan menghuraikan analisa kewangan yang mengunjurkan kedudukan tunai, prestasi untung rugi dan hal-hal lain bagi kumpulan Felda sehingga tahun kewangan 31 Disember 2017 dalam tempoh seminggu akan datang.
"Selagi Felda dan Kerajaan Persekutuan tidak mengeluarkan penyata kewangan Felda yang diaudit bagi tahun 2015 dan 2016, analisa kewangan saya ini akan menjadi rujukan majoriti rakyat dan menyukarkan Datuk Seri Najib untuk berdepan dengan kemarahan rakyat terutamanya peneroka Felda.
"Oleh itu, cara terbaik untuk Datuk Seri Najib mempertahankan janji-janji yang dibuat kepada peneroka Felda adalah dengan memastikan penyata kewangan yang diaudit bagi tahun 2015 dan 2016 dibentangkan dengan segera di sesi Parlimen akan datang yang bermula pertengahan Oktober 2017," kata Rafizi dalam satu kenyataan media.
Menurut Rafizi, beliau membuat analisa kewangan mengenai kedudukan kewangan terkini Felda berdasarkan penyata kewangan diaudit berakhir 31 Disember 2014, laporan media dan jawapan menteri di Parlimen bagi melakukan unjuran.
Daripada analisa kewangan itu, beliau mengunjurkan beberapa penunjuk kewangan penting seperti jumlah hutang terkini, jumlah keuntungan dan lain-lain.
Tambah beliau, jumlah hutang terkini Felda bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017 boleh diunjurkan dengan mengambil baki hutang terakhir yang diaudit setakat 31 Disember 2014 dan dicampur dengan hutang-hutang baru yang diambil selepas itu.
Rafizi RamliBerdasarkan jumlah hutang Felda dan anak syarikatnya dalam tahun 2015 hingga 2017, beliau mengunjurkan hutang terkumpul Felda dan anak syarikatnya akan mencecah RM12.6 bilion menjelang tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017.
Kesemua ini, ujar Rafizi mengambil kira kedudukan kewangan Felda dan anak syarikatnya yang mengalami kerugian sejak tahun 2012 dan pendapatan kumpulannya dijangka tidak melebihi RM1 bilion setiap tahun.
"Dalam keadaan ini, saya mengunjurkan Felda dan anak syarikatnya tidak berkemampuan untuk membayar hutang pokok dan hanya membayar faedah tahunan di antara tahun 2015 hingga 2017," jelas beliau.
Rafizi mengulangi kekesalannya terhadap kegagalan Felda menghantar penyata kewangan bagi tahun 2015 dan 2016 seperti dikehendaki akta ke Dewan Rakyat.
"Penyata kewangan Felda yang telah diaudit yang masih tertunggak sehingga kini ialah bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2015 dan 31 Disember 2016.
"Perkara ini telah ditimbulkan oleh pihak media sejak awal tahun 2017 setelah isu kedudukan kewangan Felda mula mendapat perhatian orang ramai," tegasnya.
Beliau turut membangkitkan janji pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Samad untuk membentangkan penyata kewangan Felda yang diaudit bagi tahun 2015 pada sesi parlimen Mac 2017 lalu.
"Saya membangkit perkara ini sekali lagi dalam satu kenyataan media pada 24 Ogos 2017 yang lalu untuk mendapat pengesahan dari pihak Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Shahrir Samad bahawa penyata kewangan Felda yang diaudit bagi tahun berakhir 31 Disember 2015 dan 31 Disember 2016 akan dibentangkan di sidang parlimen Oktober ini," katanya.
Rafizi yakin Najib dan Shahrir mengambil pendekatan berdiam diri dengan harapan perkara ini akan mati begitu sahaja memandangkan penyata kewangan Felda yang diaudit bagi tahun 2015, 2016 dan 2017 akan mendatangkan masalah politik kepada Najib jika dibentangkan.
"Saya jemput orang ramai dan pihak media untuk terus mengikuti sidang media saya yang akan datang selama seminggu untuk mengikuti analisa unjuran kedudukan kewangan Felda yang terkini sehingga 31 Disember 2017," ujarnya.

No comments: