Perlantikan Raus langgar Perlembagaan Persekutuan – Anwar
Bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam pengangktan sumpah Tan Sri Raus Sharif sebagai ketua hakim negra, menggelarnya “titik hitam dalam lembaran sejarah kehakiman dan perlembagaan negara”.
Semalam, Raus mengangkat sumpah sebagai ketua hakim negara di hadapan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara. Beliau mula dilantik ke jawatan itu pada 1 April, mengambil alih tempat Tun Arifin Zakaria yang bersara pada 31 Mac.
Apabila Raus mencecah usia 66 tahun dan 6 bulan pada Khamis, beliau secara automatik dianggap bersara tetapi tempoh perkhidmatannya dilanjutkan dengan menjadikan beliau seorang hakim tambahan Mahkamah Persekutuan.
“Pelantikan ini, serta pelantikan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinuddin sebagai presiden Mahkamah Rayuan, diteruskan oleh Datuk Sri Najib Razak walaupun menerima bantahan pelbagai pihak termasuk dari pakar perundangan tersohor, Majlis Peguam dan wakil-wakil rakyat.
“Paling jelas, Perlembagaan Persekutuan negara ini dengan terang tidak membenarkan pelantikan-pelantikan ini,” kata Anwar, yang kemudian memuji “pendirian yang cukup kuat dan berprinsip menentang pelantikan-pelantikan yang melanggar Perlembagaan” wakil-wakil rakyat PH yang menyerahkan memorandum kepada Agong pada 2 Ogos.
Anwar yang kini sedang menjalani hukuman penjara 5 tahun berkata, ketetapan yang diluluskan mesyuarat agung luar biasa Badan Peguam pada Khamis membuktikan keseriusan isu ini dalam kalangan pengamal undang-undang.
“Ketetapan yang diluluskan EGM Majlis Peguam, termasuk pengisytiharan hilang kepercayaan terhadap Tan Sri Raus, membuktikan Majlis Peguam cukup prihatin terhadap pelantikan-pelantikan ini.
“Pelantikan-pelantikan ini menonjolkan sikap Datuk Seri Najib yang langsung tidak menghiraukan keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang dalam negara kita ini,” katanya, sambil menyeru rakyat bersatu bersama Pakatan Harapan.
“Tindakan-tindakan Datuk Seri Najib ini hanya mementingkan diri sendiri dan menunjukkan betapa terdesaknya beliau untuk terus berkuasa.”
Pada 7 Julai lepas, Pejabat Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan mengumumkan Raus akan terus memegang jawatan ketua hakim negara untuk 3 tahun lagi mulai 4 Ogos.
PMHO berkata perkhidmatan Zulkefli juga dilanjutkan untuk 2 tahun lagi mulai 28 September.
Pelantikan itu dibolehkan oleh pelantikan mereka sebagai hakim tambahan Mahkamah Persekutuan mengikut Perkara 122(1A) Perlembagaan Persekutuan, sejurus apabila mereka mencapai umur bersara wajib.
Pengumuman itu disambut dengan kritikan dari pemimpin politik, bekas hakim dan peguam yang mengkritik langkah itu sebagai tidak berperlembagaan dan tidak pernah berlaku sebelum ini.
PMO bagaimanapun berakta pelantikan itu dibuat dibawah Perlembagaan kerana cadangan pelantiakn mereka itu dari Arifin pada 30 Mac, iaitu sehari sebelum persaraannya.
“Yang di-Pertuan Agong atas nasihat perdana menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-raja yang bersidang pada 24 dan 25 Mei tahun ini, memperkenankan kedua-dua pelantikan itu,” katanya.