Kesal tindakan ugut Othman
Antara mesej diterimanya berbunyi ‘Cikgu Man telah murtad, wajib hukum bunuh’.
KUALA TERENGGANU – Tindakan pihak tertentu mengugut Pengerusi Kelab Penyokong Pakatan Harapan Terengganu, Othman Ismail diselar Ahli Parlimen Kuala Terengganu yang juga Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah.
Raja Bahrin yang kesal dengan tindakan itu menegaskan budaya ugutan ke atas mana-mana individu adalah amat serius dan tidak patut berlaku dalam sebuah negara demokrasi.
Beliau menolak keras tindakan itu berkata, sekalipun terdapat perbezaan pandangan, tindakan mengugut bukan penyelesaiannya tetapi ia patut dibincang secara bijaksana tanpa libatkan kekerasan.
“Tiada ajaran agama mana sekali pun yang membenarkan perbuatan dan kekerasan sebegini rupa,” katanya dalam satu kenyataan media kepada Sinar Harian, di sini.
Sebelum ini, satu laporan polis dibuat Othman mendakwa menerima ugutan, di Balai Polis Kuala Terengganu, di sini.
Othman memberitahu ugutan itu diterima melalui aplikasi WhatsApp oleh seorang individu yang didakwanya sebagai ahli Pas dan berasal dari Selangor.
Antara mesej diterimanya berbunyi ‘Cikgu Man telah murtad, wajib hukum bunuh’.
Raja Bahrin memberitahu bahawa sebelum ini budaya mengugut turut berlaku di negeri Kelantan apabila beberapa pemimpin politik di negeri terbabit juga diugut dengan cara yang hampir sama.
Tanpa mengaitkan dengan mana-mana parti, Raja Bahrin berharap pemimpin-pemimpin parti terlibat perlu mengambil perjalanan terhadap isu yang berlaku supaya ia tidak menjadi budaya dalam politik di negara ini.
“Ketua pihak berkenaan yang terlibat secara langsung atau tidak langsung hendaklah menahan pihak mereka dari berbuat demikian.
Apa-apa perbezaan, pandangan patut dibincang dengan hujah dan bukan diugut dengan kekerasan. Inilah ajaran Islam sebenarnya yang kita banggakan.
Jangan benar budaya takfiri melanda negara Malaysia ini,” katanya.