Baju Merah: Himpunan sokong Najib, bukan Melayu
Di sebalik retorik perang, himpunan ‘baju merah’ di Kuala Lumpur semalam sebenarnya lebih mengenai sokongan kepada perdana menteri yang dilanda masalah, Datuk Seri Najib Razak dan bukannya melindungi Umno, apatah lagi tentang mempertahankan hak dan maruah masyarakat Melayu.
Beberapa perkara yang berlaku sebelum perhimpunan mengiakannya. Malam sebelum perhimpunan tersebut, Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa orang Melayu supaya tidak menghadiri perhimpunan tersebut.
Pada masa yang sama tokoh berpengaruh Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad turut memperlekehkannya.
Laporan The Malaysian Insider juga memetik beberapa pemimpin akar umbi Umno berkata mereka menentangnya.
Kedua-dua Muhyiddin dan Dr Mahathir adalah pemimpin Umno tidak sehaluan dengan Najib dan wakil kepada ahli parti yang kecewa dengan presiden Umno itu.
Himpunan Rakyat Bersatu semalam tidak disokong 2 tokoh penting Umno iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Tidak kurang pentingnya ialah kajian Merdeka Center pada Selasa yang menunjukkan hanya 24% orang Melayu ditemu bual berkata mereka menyokong perhimpunan tersebut.
Sebagai perbandingan, 53% berkata mereka menentangnya, satu petunjuk yang majoriti masyarakat tidak fikir pekerjaan, keluarga dan masa depan mereka diancam “kaum lain”.
Tetapi apa yang jelas daripada perhimpunan itu, Pengarah Merdeka Center Ibrahim Suffian berkata masih ada kumpulan kecil penyokong Umno tegar yang benar-benar percaya permainan isu perkauman itu.
Paradoks kehilangan kuasa
Walaupun niat yang dinyatakan adalah untuk melindungi maruah Melayu, tiada seorang pun kecuali Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali, memperincikan bagaimana kaum majoriti itu sedang dipinggirkan.
Juga tiada yang menyuarakan dakwaan rasuah dan salah urus kewangan terhadap syarikat pelaburan bermasalah negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) atau RM2.6 bilion yang disimpan dalam akaun peribadi Najib.
Ibrahim hanya menyentuh mengenai tanah rizab Melayu yang merosot dalam tempoh 50 tahun lepas.
Beliau bagaimanapun tidak menyebut kuasa untuk menarik balik warta tanah rizab Melayu milik kerajaan negeri dan untuk 51 tahun yang lalu, Umno memerintah semuanya kecuali Kelantan.
Menurut penganalisis politik, Prof Shaharuddin Badaruddin, ia menggambarkan keseluruhan paradoks perhimpunan tersebut.
Shaharuddin dari Universiti Selangor berkata, ahli Umno berarak untuk melindungi orang Melayu pada suatu masa apabila semua institusi di negara ini dikawal mereka dan Umno adalah parti yang mempunyai kerusi terbanyak di Parlimen.
“Jadi di mana ancaman Melayu kehilangan maruah atau kuasa? Selepas 58 tahun merdeka kita masih perlu ada perhimpunan seperti ini?” katanya.
Yang menimbulkan persoalan – adakah perhimpunan itu mengenai ahli Umno yang keluar untuk menyokong parti?
Bagi ahli Umno yang tidak muncul, ini ketakutan sebenar, kata Ibrahim.
“Perhimpunan dan retorik bercakap pada naratif lebih besar di mana Umno berdepan dengan prospek politik tidak menentu, kerana ekonomi hampir nazak, pengundi muram terbeban dengan GST (cukai barangan dan perkhidmatan) dan pemimpin yang tidak popular.”
Bekas timbalan menteri Umno Datuk Saifuddin Abdullah juga tidak berfikir ia tentang menyelamatkan Umno dan menekankan kepada ketiadaan pemimpin Umno di perhimpunan tersebut.
Ahli paling tinggi kedudukan ialah Ahli Majlis Tertinggi Tan Sri Annuar Musa. Bandingkan ini dengan Bersih 4, yang dihadiri pemimpin tertinggi PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah).
“Ia bukan sebenarnya tentang menyokong parti tetapi tentang membela individu tertentu,” kata bekas ahli Parlimen Temerloh itu.
Tidak dapat dipertahankan
Saifuddin berkata, tanda paling jelas mengenai perhimpunan itu ialah bagaimana ia mahu menangani perhimpunan Bersih 4, 2 minggu lalu.
“Bersih 4 mempunyai 5 objektif utama. Ia juga termasuk matlamat meminta perdana menteri meletakkan jawatan,” katanya.
Si ‘baju merah’ menyertai Himpunan Rakyat Bersatu sebagai perhimpunan balas terhadap Bersih 4, hujung bulan lalu. Peserta Bersih 4 menggesa Najib meletakkan jawatan atas dakwaan beliau menerima derma RM2.6 bilion.
Saifuddin meragui ‘baju merah’ menentang mana-mana 5 objektif, termasuk pilihan raya adil dan kerajaan yang bersih. Sasaran paling berkemungkinan adalah seruan kepada Najib untuk meletak jawatan.
“Jika Bersih 4 mahu menjatuhkan kerajaan, akan ada lebih ramai orang di perhimpunan tersebut.
“Tetapi saya rasa orang Melayu faham jika kita menukar perdana menteri, kerajaan akan tetap Umno dan Barisan Nasional,” katanya.
Dan di sinilah retorik perkauman datang, kata Saifuddin.
“Anda tidak boleh berhimpun untuk sesuatu atau seseorang yang tidak dapat dipertahankan dan mengharapkan orang ramai muncul menyertainya. Jadi anda menggunakan isu perkauman dan bermain dengan emosi.”
Slogan kedua paling popular dalam himpunan berkenaan selain “Melayu perlu bangkit” adalah “mempertahankan kerajaan yang dipilih rakyat”.
Tetapi tidak ada yang menjawab apabila ahli politik yang berucap pada perhimpunan itu berkata ‘Hidup Umno’.
Dalam perjalanan ke perhimpunan tersebut, penulis terserempak dengan rakan Melayu yang sedang dalam perjalanan ke sebuah kompleks beli-belah.
Apa yang dikatanya menggambarkan bagaimana Melayu bandar, bertindak balas terhadap ‘baju merah’.
Daripada semua orang Melayu yang dikenalinya, hanya seorang saja pergi ke Padang Merbok.
Dan bagaimana pula dengan rakan-rakan Melayu lain, apa yang mereka fikirkan?
“Rakan Melayu saya yang lain pergi ke Bersih 4,” katanya.