Himpunan Bersih : Polis Rekod Keterangan Azmin Untuk Kali Kedua





PETALING JAYA 4 JULAI : Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat, Azmin Ali hari ini memberi keterangan kepada pihak polis berhubung ceramah beliau di Desa Mentari pada 25 Jun lalu yang dikatakan menyentuh soal perhimpunan Bersih 9 Julai ini.

Keterangan Azmin diambil oleh pegawai dari Balai Polis Petaling Jaya di pejabat parti itu.

Atas nasihat peguamnya, Azmin tidak menjawab semua soalan yang diajukan.

Ini merupakan kali kedua Azmin diminta berbuat demikian dalam tempoh seminggu.

Ahli parlimen Gombak itu sebelum ini dirakamkan kenyataannya oleh pihak polis di lobi parlimen pada 28 Jun lalu, bersama seorang lagi ahli parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar.

Menurut Azmin, pada masa itu, mereka disiasat atas “dakwaan mengundang” orang ramai menyertai Perhimpunan Bersih dalam satu ceramah yang dihadirinya.

Dalam perkembangan lain, Azmin berkata, polis bertindak secara ganas untuk memecahkan pintu pejabat PKR di Pasir Salak malam tadi.


Kejadian yang berlaku sekitar jam 11 malam itu menurut beliau dipercayai atas cubaan mengaitkan program pelancaran jentera pilihan raya parti itu dengan rancangan perhimpunan Bersih 2.0.

Azmin memberitahu pada awalnya program berlangsung di hadapan pejabat parti PKR namun selepas mendapat nasihat polis beliau dan anggota parti lain berpindah ke dalam bangunan.

Namun sejurus selepas itu, hampir 100 orang anggota polis bertindak mengepung bangunan tersebut dan cuba menggangu perjalanan program sejurus Azmin mengambil tempat untuk berucap.

"Alasan tidak ada permit tetapi kita tidak memerlukan permit polis sebarang aktiviti yang dijalankan di dalam premis persendirian termasuk pejabat parti," jelas Azmin.

Namun demikian katanya, kakitangan pejabat PKR berjaya menghalang polis untuk masuk kerana ianya dibuat di dalam premis persendirian.