Bersih Mahu Mengadap Agong, Sedia Batal Himpunan Aman





KUALA LUMPUR 4 JULAI : Pengerusi Bersih, Datuk Ambiga Sreeneevasan berhasrat mengadap Yang di-Pertuan Agong sebelum Sabtu ini dan bersedia membatalkan perhimpunan pada 9 Julai ini jika diminta berbuat demikian oleh Seri Paduka Baginda.

"Bersih 2.0 akan mengikut nasihat Yang di-Pertuan Agong yang mahukan semua pihak mengadakan dialog bagi mencari konsensus bersabit pembaharuan proses pilihan raya dan penyuburan demokrasi di Malaysia," kata Ambiga.
Berikut kenyataan penuh Ambiga :
BERSIH 2.0 mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong atas sokongan baginda terhadap aspirasi rakyat jelata untuk reformasi sistem pilihan raya.

BERSIH 2.0 akan patuh kepada titah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong untuk berdialog ke arah mewujudkan satu konsensus nasional bagi reformasi sistem pilihan raya dan proses pembangunan demokrasi di Malaysia.

BERSIH 2.0 memohon mengadap Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong untuk mempersembahkan isu-isu yang diambil berat oleh rakyat jelata serta aspirasi bagi reformasi pilihanraya dan proses pembangunan demokrasi untuk dilaksanakan dengan segera selaras dengan kehendak Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong untuk rekonsiliasi nasional.

Menurut Ambiga, satu surat rasmi akan dihantar ke Istana Negara hari ini bagi menjelaskan hasrat Bersih mengadakan pertemuan dengan Tuanku Mizan.

Ditanya pemberita sama ada beliau bersedia membatalkan perhimpunan aman pada Sabtu ini jika diarah berbuat demikian oleh Tuanku, Ambiga berkata, pihaknya akan akur dengan kehendak Seri Paduka Baginda.
Dalam kenyataannya semalam Tuanku Mizan menyeru semua pihak untuk mengutamakan kesejahteraan negara susulan ketegangan yang tercetus akibat penangkapan hampir 200 orang termasuk enam ahli pembangkang di bawah Ordinan Darurat.

Baginda juga menggesa supaya kerajaan yang memerintah melaksanakan tanggungjawabnya secara adil dan saksama dan tidak mahu mana-mana segmen masyarakat bermusuhan dengan kerajaan.

“Beta juga menyeru kepada pihak kerajaan agar melaksanakan segala amanah yang diberikan kepada rakyat secara adil dan bijaksana dan yang pentingnya Beta selaku Yang di-Pertuan Agong tidak mahu melihat negara bermasyarakat majmuk ini berada di dalam keadaan bermusuhan sesama sendiri ataupun sebahagian rakyatnya bermusuh dengan kerajaan atas apa jua alasan pun,” titah Tuanku.

Beberapa kumpulan sebelum ini mengugut untuk menggunakan kekerasan jika 62 pertubuhan bukan kerajaan meneruskan hasrat menganjurkan perhimpunan aman Bersih untuk mendesak pilihanraya yang bersih dan adil pada 9 Julai.
Polis pula bertindak menangkap hampir 200 orang, kebanyakkan mereka kerana memakai baju dengan logo perhimpunan aman itu. Enam daripada mereka ditahan di bawah Ordinan Darurat yang menetapkan penahanan tanpa perbicaraan.