Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Putra Malaysia

(PMIUPM) menyatakan kesediaan untuk membuat bantahan besar-besaran jika dua tertuduh bagi kes contengan protes ‘anti-Rosmah’ di Universiti Malaya dikenakan tindakan tatatertib oleh universiti.


Presiden persatuan berkenaan, Safwan Abdul Ghani juga mempertikai tindakan polis memburu pesalah di dalam kampus.


“Kerajaan, pihak polis dan pentadbiran Universiti Malaya bersikap terlalu kejam dan zalim kepada mahasiswa, sehingga boleh mengenakan tindakan sesuka hati mengikut apa yang mereka suka.

Tiga orang siswa yang tiada kena mengena dengan kes ini juga boleh dilibatkan sama sehingga pihak polis boleh masuk ke kawasan kampus untuk memburu mereka,”ujar beliau dalam kenyataannya.


Beliau yang mengaku menyahut seruan bantahan yang dinyatakan oleh Shazni Munir melalui blognya juga mempertikai bidang kuasa pengawal keselamatan disamping kredibiliti mahkamah universiti serta Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).


Dimanakah fungsi pihak keselamatan, Mahkamah universiti dan AUKU yang selama ini digembar-gemburkan dan dibahas dengan oleh perwakilan kerajaan di Parlimen? Ketara sangatlah ada pihak yang sengaja menghuru-harakan keadaan dan memburuk-burukkan mahasiswa,”tambah beliau lagi.


Ditanya berkenaan pandangan beliau kepada wanita nombor satu Negara itu berhubung kes yang berlaku, Safwan ada pendirian tersendiri.


“Sekiranya ketiga-tiga siswa yang diburu itu ditangkap, disoalsiasat, dan didakwa di mahkamah, maka Rosmah juga perlu untuk dilibatkan sama. Baru dikatakan adil, sejak daripada pembunuhan Altantuya lagi, pernahkah Rosma disoalsiasat oleh pihak polis?.


Pernahkah dia dan YAB Najib Tun Razak dihadapkan di Mahkamah? Siapakah dia ini, dia makan pun daripada titik peluh kita sebagai rakyat, kami rakyat mahukan keadilan, jangan buat sesuka hati. Sekiranya mereka ditangkap, kita mahasiswa akan melakukan satu gelombang bantahan yang mereka tidak pernah lihat dalam sejarah Malaysia ini,”jawab beliau.


Terdahulu, polis masih lagi mencari Shazni Munir Ithnin, Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) disamping dua orang lagi individu iaitu Muhammad Aizat Roslan dan Muhammad Saufi Jelani bagi membantu siasatan.


Shazni dalam blognya, Perubah Zaman menyeru dan mencabar universiti menyeru semua mahasiswa membantah jika keputusan tatatertib universiti diambil seperti yang berlaku kepada ISA7.


Beliau juga menyatakan selama-lamanya menuntut Rosmah Mansur untuk didakwa di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mandatori gantung sampai mati.

No comments: