KHAS PERHIMPUNAN AGUNG PKR-RESPON DARI PENGUNJUNG


OLEH:Roslan Al-Rashid



Secara ringkas ingin saya perkatakan disini ialah PKR harus bergerak dari awal sebelum keadaan bertukar lambat. PKR haruslah mengekalkan kecenderungan pengundi baru agar terus menyokong mereka, yang jelas mereka tidak boleh dikhayalkan dengan slogan berapi-api semata-mata sebelum keadaan bertukar menjadi jelek seperti apa yang pernah berlaku pada UMNO dan Paklah khususnya. Mereka tidak boleh disogokan dengan semangat kesetiaan pada parti semata-mata tanpa ada program susulan yang dapat merobah keadaan semasa dalam UMNO dan selepas menyokong PKR.



Terdapat kecenderungan pengundi muda yg mula menjenguk-jenguk apa yang sedang di lakukan UMNO dan BN terutama dalam memenangi semula hati rakyat. Mereka melihat disitu ada peluang baru, UMNO sedang rebranding. Umno sedang bergerak pantas untuk memulakan program pemulihan untuk menawan penyokong akar umbi secara halus terutama golongan muda sebelum peralihan kuasa dalam UMNO. Banyak program-program sedang dilakukan secara intensif terutama di negeri Pahang yang melibatkan program menjana pendapatan penduduk luar bandar. Mereka memang pincang namun segala kekecohan dalaman UMNO hanya sementara dan sebenarnya sedang melekakan PKR.



Ada ruang kosong yang perlu diisi dalam memenangi dan menyelia pengundi-pengundi saluran 3 & 4. Jika pimpinan baru UMNO kembali bertapak dihati pengundi asal mereka maka keadaan akan menjadi sulit dan PKR akan menunggu lama untuk mendapat sokongan seperti yang ada sekarang. Ada kaedah yang boleh merobah keadaan supaya kepimpinan lebih dekat di hati rakyat dan bukan dengan mengadakan kenduri dan jamuan semata-mata.



Penglibatan sebuah syarikat dalam projek perintis di Negeri Pahang sudah menampakkan hasil terutama kepada golongan petani di desa-desa kecil pinggiran Mentakap tanpa melibatkan kewangan kerajaan negeri. JKKK baru telah dilantik bagi menggantikan golongan lama, lebih muda dan berpelajaran. Merekalah yang akan menjadi penggerak dalam beberapa program baru yang dirancang termasuk menjadi mentor projek menjana ekonomi rakyat menerusi kaedah yang akan diperkenalkan.


Program latihan sedang disusun dengan teratur bertujuan melahirkan pimpinan akar umbi yang lebih berwibawa dan dapat menjana kepimpinan cemerlang. Latihan yang menyeluruh amatlah diperlukan supaya mereka lebih bersedia dalam menjalankan tugas dan amanah yang diberikan. Mereka harus dibekalkan dengan ilmu secukupnya, berinformasi, berpengetahuan luas dan berfikiran terbuka. Selain itu mereka harus didedahkan dengan latihan bagi melahirkan nilai-nilai murni dan berkeperibadian tinggi, menjadikan diri sebagai contoh ikutan (role model) disamping sentiasa memahami dan mengambil kira amalan-amalan baik (good practices) dalam menjalankan tugas. Mereka harus menjaga nama baik, imej, kredibiliti serta menjadi contoh tauladan dan juga sebagai 'pemimpin dan pendakwah' kepada anak-anak buah kawasan dengan penuh kesabaran, keikhlasan, kewibawaan dan kejujuran serta sentiasa mengamalkan konsep 'permuafakatan’. Program-program latihan lain yang boleh diambil kira adalah program Pengurusan Keselamatan Kawasan, pemahaman Teknikal dalam menguruskan infrastruktur asas kampung/kawasan dan juga program menjana ekonomi rakyat menggantikan program satu kampung satu produk yang telah gagal.



Masyarakat hari ini adalah masyarakat yang semakin kompleks dan rumit, selaras dengan itu untuk menjadi seorang pemimpin setempat yang baik mereka hendakalah dilengkapkan dengan ilmu yang secukupnya tentang tugas dan tanggungjawab sebenar yang harus dipikul dalam mengurus keselamatan kawasan termasuk menangani kes-kes pendatang tanpa izin yang sering menceroboh, masaalah bencana alam yang tidak diduga, kes-kes akibat dadah serta kadar jenayah yang semakin meningkat. Semua ini harus ditangani dengan bijak mengikut saluran tertentu serta melalui tindakan bersepadu dengan lain-lain agensi penguatkuasaan yang di pertanggungjawabkan. Pengurusan Keselamatan Kawasan akan mendedahkan mereka tentang kaedah meningkatkan keselamatan kawasan setempat berdasarkan tindakan ’First Respond’ yang harus diamalkan.