Ulama Muda Umno : Media Arus Perdana Harus Telus



SHAH ALAM 25 OGOS : Ulama muda Umno, Fathul Bari Mat Jahaya berkata fenomena politik di Malaysia kini dilihat sedang bergelut dengan kepentingan masing-masing sehingga ada beberapa fakta yang sepatutnya disampaikan tetapi dimanipulasi demi kepentingan politik.

Namun, dakwaan bahawa media arus perdana mengamalkan sikap tidak telus dalam menyampaikan maklumat yang tepat dan betul kepada rakyat tidak diterima sepenuhnya.

Sebaliknya, beliau berkata masyarakat hari ini perlu sedar akan perkara-perkara yang sepatutnya dipercayai selain tidak membuat kesimpulan yang boleh mengundang fitnah serta mengaibkan sesama manusia.

"Dan apabila perkara (maklumat) tersebut disampaikan, adalah menjadi tanggungjawab penyiaran media (media cetak, elektronik, alternatif) untuk menyebarkan tanpa dipetik sebahagian dan disembunyikan sebahagian yang lain,"katanya.

Bercakap dalam wacana "Ulama dan Politik" di Shah Alam semalam, Fathul berkata sebagai contoh laporan dalam kes , Datuk Seri Anwar Ibrahim di mana pihak media didakwa menyebarkan sebahagian maklumat dengan hanya mengambil fakta-fakta tertentu semata-mata untuk memfitnah, mencemar maruah beliau sekali gus menjatuhkan Ketua Pembangkang Malaysia itu.

Malah, Fathul turut menyelar sikap sesetengah pihak yang sewenang-wenangnya memutar belitkan fakta demi kepentingan parti politik tertentu.

Sedangkan, katanya maklumat yang diperolehi adalah lebih baik, lengkap dan sempurna.

Dua lagi anggota panel dalam wacana itu ialah Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin bertindak sebagai moderator.

Sementara itu, Ketua Penerangan Pas Pusat Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kekangan kepada pembangkang dalam menyampaikan meklumat dilihat sangat terhad dimana media arus perdana kebanyakkanya dikawal oleh kerajaan pemerintah.

Jelasnya lagi, jika pembangkang mempunyai maklumat yang ingin dikongsikan kepada rakyat mereka hanya berpeluang untuk menyebarkanya melalui ceramah-ceramah yang dianjurkan oleh parti.

Bagaimanapun, ujar Tuan Ibrahim sebaliknya pula yang berlaku apabila ceramah umum itu disifatkan sebagai mengumpat dan ia jelas sangat tidak wajar.

Justeru, beliau mempersoalkan bagaimana harus rakyat menilai serta memilih pemimpin mereka jika maklumat yang diterima adalah tidak benar dan telus.

"Rakyat mesti dapat gambaran sebenar, kerana mereka nak pilih. Kalau kita diberi peluang untuk memilih dalam pilihan raya tapi kita tak dapat maklumat sebenar macam-mana kita nak pilih? Jadi oleh kerana maklumat tak dapat lalu kita dipaksa memilih dalam keadaan rakyat tak dapat maklumat sebenar. Jadi pemilihan itu tak tepat, akibat pemilihan tak tepat kita sedang alami apa yang sedang berlaku," tambahnya.

No comments: