PSC : Bukan Yang Terbaik, Hanya Sekadar Penghias Jendela



SHAH ALAM 19 OGOS : Kepincangan yang berlaku dalam urustadbir sistem pilihan raya di Malaysia tidak akan selesai jika menteri bertanggungjawab menubuhkan Jawatankuasa pilihan khas Parlimen dengan hanya diketuai oleh seorang menteri dan bukannya wakil Pakatan Rakyat.

Mengulas lanjut perkara tersebut, Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfudz Omar mempersoalkan keanggotaan jawatankuasa itu yang jelas hanya penghias jendela dan tidak berminat untuk mewujudkan pilihan raya adil dan bersih sambil disifatkan sebagai 'main-main'.

"Selama ini kita mempersoalkan kerajaan, bukan saja SPR (tetapi) kerajaan sendiri enggan untuk melakukan perubahan untuk pembaharuan terhadap proses perjalanan sistem pilihan raya negara kita. Tiba-tiba Nazri mengumumkan bahawa jawatankuasa ini dipengerusikan oleh seorang menteri, sudah tentu menteri itu akan mewakili kabinet. Jadi bagaimana dia nak pengerusikan sedangkan dia dipertikaikan? soalnya.

Datuk Seri Nazri Aziz hari ini menegaskan jawatankuasa pilihan khas Parlimen mengenai pilihan raya akan diketuai oleh seorang menteri bukannya wakil Pakatan Rakyat sambil berkata, keputusan sebelum ini “tidak bermakna tidak.”

Justeru, Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu menyoal pembangkang agar memberikan “satu alasan yang baik” mengapa wakil Pakatan Rakyat seharusnya menyandang jawatan itu.

Malah katanya, hanya kedudukan seorang menteri persekutuan akan membolehkan akses mudah kepada kemudahan-kemudahan kerajaan.
Jelas Mahfuz, kerajaan pusat sewajarnya mempertimbangkan satu jawatankuasa yang bersifat suruhanjaya, di mana keanggotaannya mesti dipilih oleh parlimen melalui proses pengundian.

Justeru itu, jawatankuasa tersebut mestilah melantik individu yang bukan dari kabinet serta bebas dan tidak terikat dengan mana-mana parti politik.

"Jawatankuasa pilihan khas Parlimen harus diletakkan sebagai suruhanjaya, di mana boleh lantik orang luar orang yang dilihat bebas untuk mempengerusikan jawatankuasa tersebut, lalu keanggotaannya dari semua parti pelbagai pihak diletakkan di sana."

Malah, ujarnya penubuhan itu nanti akan membolehkan PSC membuat penelitian khas mengenai calon-calon yang layak untuk menyertai jawatankuasa terbabit dan bukan dibuat demi kepentingan politik semata.

Tegasnya lagi, rakyat di negara ini perlukan satu perubahan penambahbaikkan sistem pilihan raya melalui lapan tuntutan yang dibuat Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) pada 9 Julai lalu dan bukannya sebuah jawapan palsu.

Antara lapan tuntutan tersebut ialah supaya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membersihkan daftar pengundi, mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, masa kempen minima 21 hari, akses media yang bebas dan adil, kukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor.