PRN17: Hajiji Mengadap Tun Musa, Spekulasi DUN Sabah Dibubar?

 


Kenderaan yang membawa Hajiji memasuki Istana Seri Kinabalu sekitar jam 8.51 pagi 6 Oktober 2025. Foto Astro Awani

KOTA KINABALU, 6 Okt – Pengumuman dijangka dibuat di Menara Kinabalu pagi ini dalam satu sidang media khas, selepas Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor selesai menghadap Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman yang difahamkan bagi memohon perkenan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.

Terdahulu kelihatan kenderaan yang membawa Ketua Menteri yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu dilihat memasuki pekarangan Istana Negeri Seri Kinabalu di sini pada jam 8.51 pagi tadi.

Petugas media mula berkumpul di hadapan Istana seawal 7.30 pagi bagi mendapatkan gambaran dan maklumat terkini mengenai pembubaran DUN Sabah.

Jumaat lalu Pejabat Media dan Komunikasi Jabatan Ketua Menteri berkata pihaknya akan membuat jemputan untuk sidang media berkaitan pembubaran DUN Sabah oleh Ketua Menteri.

Kedudukan jumlah kerusi Ahli Dewan Undangan (ADUN) terkini sebelum pembubaran DUN menyaksikan GRS mengetuai blok kerajaan negeri bersama Pakatan Harapan (PH) dan tiga lagi ADUN BN yang menyokong pentadbiran kerajaan negeri itu dengan jumlah 53 kerusi termasuk empat ADUN dilantik.

Manakala di blok pembangkang diketuai parti Warisan bersama Barisan Nasional (BN) dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) dengan jumlah 22 kerusi termasuk dua ADUN dilantik.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan Datuk Seri Hajiji Noor di Perdana Putra, Putrajaya pada 18 Ogos 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Khamis lalu Setiausaha Agung GRS, Datuk Seri Masidi Manjun dalam satu kenyataan nerkata Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP) telah memutuskan untuk keluar daripada GRS dan akan bertanding secara solo dalam PRN17.

Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Presiden GRS yang dipengerusikan oleh Hajiji yang berlangsung di Sri Gaya Rabu lalu.

Keputusan itu dibuat kerana STAR dan SAPP tidak mahu terikat dengan kuota agihan kerusi DUN yang akan dimuktamadkan antara GRS dan Pakatan Harapan (PH).

Hubungan erat antara Anwar dan Hajiji menyebabkan parti pembangkang terutama Parti Warisan Sabah (PWS) sukar mendapat sokongan rakyat.

Bagaimanapun dalam kenyataan itu hanya menyatakan keanggotaan STAR dan SAPP dalam GRS secara automatik telah tamat namun tidak menyatakan kedua parti itu masih kekal di dalam kerajaan atau sebaliknya.

Untuk rekod satu kerusi di blok kerajaan membabitkan ADUN BN Sungai Sibuga kosong selepas Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Allahyarham Datuk Mohd Hamsan Awang Supain meninggal dunia akibat serangan jantung ketika menjalani rawatan di Hospital Pakar KPJ pada 19 Januari lalu.

Satu lagi kerusi kosong membabitkan blok pembangkang pada 3 September lalu membabitkan kerusi ADUN Melalap selepas penyandangnya, Datuk Peter Anthony gagal memfailkan petisyen pengampunan dalam tempoh 14 hari.

20 Ogos lepas, Mahkamah Rayuan menolak permohonan semakan Peter terhadap sabitan dan hukuman penjara tiga tahun yang bermula 4 Mac lalu bagi kesalahan memalsukan dokumen berkaitan kontrak penyelenggaraan dan perkhidmatan di Universiti Malaysia Sabah (UMS).


No comments: