IHR: HENTIKAN POLEMIK, HORMATI PROSES RUNDINGAN DENGAN WHO


 Usaha meratifikasi Regulasi Kesihatan Antarabangsa (IHR 2005) oleh negara ini dan rundingan dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai perkara itu perlu diserahkan kepada pihak kerajaan untuk memutuskannya.

Bagi Ketua Komunikasi dan Penerangan KEADILAN Kemaman, Ahmad Nadhir Yob, usaha beberapa pihak yang mahu kerajaan menentang ratifikasi IHR tersebut adalah kurang matang kerana kerajaan masih dalam peringkat rundingan dengan WHO.

Katanya, sekiranya rundingan selesai pun hal tersebut akan diputuskan oleh Kabinet terlebih dahulu sebelum ratifikasi berlaku.

“Seperti yang diketahui sebelum ini pihak Kementerian Kesihatan Malaysia melalui kenyataan Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa di Dewan Rakyat baru-baru ini telah menjelaskan bahawa Malaysia belum menandatangani ratifikasi IHR dan rundingan bersama WHO masih berjalan

“Menteri Kesihatan juga telah mengesahkan bahawa semua keputusan yang dibuat berhubung perkara ini akan dibawa ke peringkat Jemaah Menteri untuk kelulusan

“Oleh itu semua pihak harus menghormati proses rundingan ini dan tidak menimbulkan polemik yang tidak sahih yang boleh mengelirukan masyarakat,” kata Ahmad Nadhir dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, beberapa hujah yang digunakan oleh NGO dalam menolak ratifikasi itu juga jelas menyeleweng daripada fakta rundingan yang mendakwa WHO boleh mengenepikan kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam mengisytihar darurat sekiranya negara di serang pandemik.

“Keadilan Kemaman (dalam hal ini) menggesa semua lapisan masyarakat agar merujuk sumber yang sahih berkenaan isu IHR bagi mengelakkan salah faham dan kegusaran dalam kalangan masyarakat,” katanya lagi.

Isu ratifikasi IHR banyak ditimbulkan oleh NGO yang mendakwa Malaysia akan kehilangan kedaulatan sekiranya regulasi berkenaan dipersetujui. Bagaimanapun, Menteri Kesihatan menegaskan kerajaan tidak akan menjual kedaulatan negara hanya semata mata untuk mengiktiraf IHR.



No comments: