HASSAN KARIM JAWAB MB KEDAH – TUN RAZAK, PROF UNGKU AZIZ JUGA BUKAN ANAK ORANG MISKIN


Laporan Malaysiakini itu memetik ucapan Sanusi, Menteri Besar Kedah itu dalam satu ceramah Perikatan Nasional di Tanjong Karang, Selangor semalam Ahad 04 Jun 2023.

Menurut Sanusi, Anwar tidak tahu tentang kemiskinan kerana Anwar bukan dari keluarga miskin dan Anwar bersekolah di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) sebuah sekolah elit.

Sanusi sebagai Menteri Besar Kedah tentu maklum bahawa di Kedah terdapat ramai pesawah padi. Adakah Sanusi sudah lupa bahawa antara tindakan awal Anwar sebagai Perdana Menteri ialah berbincang dengan Tan Sri Syed Mokhtar, tuan punya syarikat Bernas yang memiliki AP mengimport beras supaya memulangkan sebahagian daripada keuntungannya bernilai RM100 juta untuk membantu pesawah-pesawah miskin?

Adakah Sanusi mengetahui bahawa ketika di bawah pentadbiran Kerajaan Perdana Menteri Ketujuh, Tun Dr Mahathir Mohamad, bahawa sebaik sahaja Anwar Ibrahim dipilih sebagai Ahli Parlimen Port Dickson, antara ucapan awalnya yang penting di Parlimen ialah menegur dengan ikhlas belanjawan negara kerajaan Pakatan Harapan ketika itu.

Saya berada di dalam Parlimen ketika itu dan saya menyaksikan bahawa Anwar tidak setuju tindakan kerajaan memotong subsidi kepada petani, pesawah dan nelayan miskin.

Anwar berharap subsidi kepada rakyat golongan miskin di kekalkan. Anwar mencadangkan Kementerian Kewangan supaya menyusun semula kadar bayaran kepada syarikat-syarikat besar berkaitan GST.

YAB Sanusi sebagai seorang pemimpin tentu bersetuju dengan saya bahawa tak semestinya kita pernah hidup miskin barulah kita tahu erti kemiskinan. Saya bagi beberapa contoh klasik untuk menyokong andaian saya ini.

Pertama, saya sebut nama Allahyarham Profesor Diraja Ungku Aziz. Ungku Aziz semasa hidupnya bukan anak orang miskin. Profesor Ungku Aziz berasal dari golongan bangsawan Johor dan amat dekat dengan keluarga di Istana Johor.

Tetapi Ungku Aziz amat arif tentang kemiskinan rakyat di Malaysia, khususnya kemiskinan orang Melayu.Sepanjang hidupnya Prof. Ungku Aziz memperjuangkan nasib orang miskin.

Contoh kedua, ialah Profesor Syed Husin Ali, rakan satu kem di Penjara Kamunting, Taiping bersama-sama Anwar Ibrahim apabila mereka ditahan di bawah ISA pada tahun 1974 kerana menyokong perjuangan rakyat miskin di Baling, Kedah.

Prof. Dr. Syed Husin Ali, seorang Profesor Sosiologi dan Antropoligi dari Universiti Malaya bukan dari keluarga yang miskin di Batu Pahhat, Johor. Syed Husin mempunyai darah keturunan dari kesultanan Siak di Sumatera sana.

Tetapi sepanjang hayatnya dia mengkaji tentang kemiskinan, menulis tentang isu kemiskinan dan selama enam tahun terkurung di Penjara ISA kerana membela rakyat miskin.

YAB Sanusi mengkritik Anwar Ibrahim dan mendakwa Anwar tidak tahu hal rakyat miskin kerana Anwar bersekolah di MCKK. Saya ingin bertanya Sanusi, seorang pemimpin PAS dan Perikatan Nasional.

Apa dosanya Anwar bersekolah di MCKK Kuala Kangsar? Sekolah MCKK itu adaah untuk pelajar-pelajar Melayu yang terbaik. Saya tahu hal itu kerana anak sulung saya juga pernah belajar di sana kerana mendapat kelulusan terbaik semasa peperiksaan darjah enam UPSR.

Tetapi saya bagi contoh lain, bukan anak saya. Tahukah YAB Sanusi bahawa Allahyarham Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia yang kedua juga pernah belajar di MCKK.

Tun Abd Razak bukan anak orang miskin. Tun Abd Razak adalah seorang anak bangsawan dari Pahang. Tetapi lihat apa yang dia telah buat tentang memperjuangkan nasib orang miskin.

Siapakah Perdana Menteri yang membuka beribu-ribu hektar tanah di seluruh negara di bawah rancangan tanah Felda untuk dikurniakan kepada rakyat miskin Melayu? Tentulah jawapannya ialah Tun Abd Razak yang bersekolah di MCKK dulunya dan bukan dari keluarga miskin.

Mungkin YAB Sanusi perlu ingat Tun Abd Razak yang diberi gelaran bapa pembangunan Malaysia adalah pemimpin yang mengasaskan Dasar Ekonomi Baru yang tujuan utamanya ialah untuk membasmi kemiskinan seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama.

Jadi, apabila YAB Sanusi telah faham semua ini sekarang, eloklah bersederhana dalam ucapan. Adalah lebih molek dan elok kesudahannya jika Sanusi selaku Menteri Besar Kedah menghulurkan tangan persahabatan dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang mengetuai kerajaan Persekutuan.

Sepatutnya kita (termasuk YAB Sanusi) bersyukur dan terus berdoa kepada Allah supaya Perdana Menteri kita sekarang terus tabah dan istiqamah dalam memperjuangkan nasib rakyat miskin.

Sejak Anwar Ibrahim masih muda-muda lagi, baru sahaja berumur dua puluhan, tetapi Anwar Ibrahim telah memperjuangkan isu kemiskinan rakyat sehingga beliau terpenjara selama dua tahun di bawah ISA.

Jangan lupa fakta itu wahai Sanusi.

Maka, sekurang-kurangnya, hormatilah Perdana Menteri kita sekarang. Saya rasa itulah yang disuruh oleh ajaran agama supaya kita jalinkan silatulrahim.

Oleh

Hassan Abdul Karim

Ahli Parlimen Pasir Gudang

Merangkap

Anggota Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen

berkenaan Kos Sara Hidup, Pertanian dan Keusahawanan

05 Jun 2023 (Isnin)



No comments: