Senator Dewan Negara bidas tuduhan Presiden Pas


 

Kenyataan Presiden Pas, Hj Hadi Awang yang menuduh KEADILAN melawan al-Quran merupakan satu kenyataan tidak cermat.



Senator Mohd Hasbie Muda berkata, tuduhan susulan ucapan Setiausaha Agung KEADILAN Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail di Kongres Nasional Khas KEADILAN 18 Mac lalu itu berpunca daripada sikap Ahli Parlimen Marang tersebut yang tidak 'tabayyun' dalam menerima berita.



"Amatlah tidak betul apabila Presiden Pas mendakwa Saifuddin sebagai jahil dan buta al-Quran, atau KEADILAN melawan al-Quran sekali gus melawan Allah.



"Presiden Pas melakukan kesilapan besar dengan membuat komentar ke atas perkara sepenting ini tanpa merujuk terus rakaman ucapan Saifuddin sesuai dengan ajaran agama Islam yang menyeru kepada tabayyun.



"Tiada dalam mana-mana bahagian ucapan penggulungan Saifuddin Nasution di dalam Kongres Khas yang mewajarkan Presiden Pas membuat tuduhan berat berbunyi “KEADILAN Lawan al-Quran," katanya.



Tambah Ketua Pemuda AMANAH Nasional itu, Abdul Hadi telah tanpa semakan teliti menyerang Menteri Dalam Negeri berkenaan dengan kata-kata “hal ini jelas menunjukkan kejahilan dan sifat buta al-Quran yang lebih parah daripada sifat buta huruf”.



Sedangkan menurutnya, Saifuddin secara jelas telah menganjurkan kepada ahli parti itu bahawa tiada siapa boleh menafikan bahawa sebagai agama yang lengkap, politik sememangnya ada dalam Islam.



Malah Saifuddin dalam ucapannya turut menekankan tuntutan berpolitik secara Islam dan bukan mempolitikkan agama.



"Saya setuju dengan tulisan Haji Amidi Abdul Manan, Pengarah Jabatan Pemahaman dan Pemantapan Agama KEADILAN bahawa tulisan Minda Presiden Pas tersebut terbabas dari landasan.



"Saya juga setuju dengan tulisan Haji Amidi bahawa tulisan Minda Presiden Pas menunjukkan Presiden Pas sedang memperkukuh fahaman bercitra Khawarij yang ditolak oleh Ahlus Sunnah Wal Jamaah.



"Jika perbuatan begini tidak dibendung segera, negara boleh kembali ke zaman ekstremisme agama yang membawa huru-hara seperti yang pernah berlaku sebelum ini," tegas Hasbie dalam kenyataan tersebut.

 

No comments: