Semalam, SPRM mengesahkan akaun bank Bersatu telah dibekukan bagi memudahkan siasatan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan.
Difahamkan, pembekuan itu telah dilakukan sejak dua minggu lalu.
Pada awalnya, pembekuan itu dilakukan untuk menyiasat dakwaan berkaitan dana rangsangan kerajaan – berjumlah RM92.5 bilion – semasa pandemik Covid19 dan didakwa diselewengkan dan seterusnya dimasukkan ke dalam akaun bank Bersatu.
Bagaimanapun, difahamkan pembekuan juga dibuat bagi menyiasat dakwaan bahawa Bersatu menerima sumbangan daripada kira-kira 10 kontraktor yang mendapat pelbagai projek semasa parti itu menjadi kerajaan.
Sumber-sumber mendakwa, jumlah sumbangan itu disyaki berjumlah lebih RM300 juta.
Dakwa sumber berkenaan lagi, baki dalam dua akaun bank Bersatu ketika ini adalah sekitar RM40 juta.
Tindakan SPRM itu tidaklah memeranjatkan kerana berdasarkan penyata akaun yang tersebar luas di media sosial, Bersatu didapati menerima dana berjumlah beratus-ratus juta sewaktu tempoh PKP berkuatkuasa pada 2020 dan 2021.
Soalnya, siapa memberi wang sebanyak itu dan kenapa mereka memberinya, sedangkan sewaktu tempoh PKP, banyak perniagaan berdepan masalah kewangan dan tidak beroperasi sepenuhnya?
Dana tersebutkah yang menjadikan Bersatu dan PN begitu mewah berbelanja, bukan saja dalam PRU15 lalu, bahkan sejak PRN Melaka dan Johor lagi?
Berdasarkan hal ini juga, jika ada RM300 juta didakwa dimasukkan ke dalam akaun bank Bersatu, ikut logik dan kebiasaan sebagai parti politik, lebih banyak lagi duit tunai dipercayai ada dalam simpanan pemimpin atau di pejabat parti berkenaan.
Ini kerana, dalam mana PRU, urusan perbelanjaan sebahagian besarnya adalah dalam bentuk tunai dan daripada tangan ke tangan.
Dengan itu, bersekali dengan pembekuan akaun bank Bersatu, akaun bank pemimpin, pejabat peribadi dan kediaman pemimpin-pemimpin utama Bersatu juga seharusnya disiasat sama oleh SPRM.
Manalah tahu kot-kot terjumpa sesuatu yang lebih mengejutkan lagi.
Siasatan haruslah dilakukan secara menyeluruh bagi memastikan tiada yang terlepas daripada perbuatan melanggar undang-undang.
Dalam hal ini, respon Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainuddin yang mendakwa tindakan SPRM itu sebagai bukti, PH dan BN menggunakan agensi kerajaan sebagai alat untuk “membunuh” kredibiliti Bersatu serta PN serta adalah tidak benar sama sekali.
Beliau malah menuduh ia sebagai “strategi jelek” pentadbiran semasa PH dan BN untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada kelemahan, kegagalan dan nepotisme yang membelenggu mereka.
Yahg penting di sini, jika tiada apa-apa kesalahan atau perlanggaran undang-undang telah dilakukan, tiada apa yang Hamzah atau Bersatu perlu bimbang dengan tindakan SPRM itu.
Berilah kerjasama ketika disiasat, waima jika ketika pejabat atau rumah diserbu sekali pun.
Berani kerana benar, mengelabah semacam bukankah seperti ada yang salah? – ShahbudinHusin 02/02/2023.