PULANGKAN HARTA YANG DIPUNGGAH

 

Oleh: SHAHBUDIN EMBUN

Semasa menyampaikan perutusan dalam Majlis Munajat Ambang Tahun Baharu 2023 di Masjid Putra baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menarik perhatian kita apabila menegaskan bahawa beliau akan menamatkan amalan rasuah yang didakwanya menggunakan kepimpinan politik dan kedudukan dalam kerajaan sebagai “kesempatan untuk memunggah

kekayaan”.

Anwar terus menegaskan bahawa….kerajaan ini akan pastikan sekurang-kurangnya sebahagian daripada dana yang dipunggah itu dipulangkan semula kepada rakyat. Ini bukan kecil jumlahnya”.

Apa yang menarik tentang kenyataan ini ialah walaupun Anwar tidak menyentuh secara langsung pentadbiran atau nama individu yang dimaksudkannya, namun beliau telah menyebut pihak itu sebagai “pernah menjadi menteri kewangan” dan “bekas perdana menteri”.

Biarlah teka teki itu menjadi perbincangan di kalangan kita semua.

Kenyataan tegas Anwar ini sangat konsisten dengan apa yang diperjuangkan selama ini. Bahkan sebaik sahaja beliau memegang jawatan perdana menteri, beliau telah menegaskan akan memecat mana-mana menteri dalam Kerajaan Perpaduan yang terlibat dengan rasuah atau salah guna kuasa. Ini jelas menunjukkan bahawa Anwar begitu serius dan komited memerangi rasuah .

Ketegasan ini pastinya akan menambahkan lagi keyakinan para pelabur asing untk membuat pelaburan di negara kita dan sekali gus dapat membantu memulih dan memperbaiki kedudukan ekonomi negara yang semakin meruncing sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Hal Ini perlu diberikan perhatian, kerana Malaysia merupakan negara perdagangan yang selama ini mencatat kadar pertumbuhan ekonomi berdasarkan usaha kita menerima pelaburan domestik dan luar negara.

Sebenarnya rakyat Malaysia sudah lama sedar yang masalah rasuah sememangnya boleh diibaratkan seperti barah yang merosakkkan kehidupan dan ekonomi di negara kita ini.

Perkataan seperti nepotisme, kronisme dan ketirisan sering dikaitkan dengan masalah rasuah dan salah guna kuasa di Malaysia.

Apatah lagi, masalah ini sering juga dikaitkan dengan nama-nama mereka yang terlibat dalam dunia politik dan pentadbiran. Rakyat sudah muak dan mahukan kerajaan terus memerangi musuh negara ini.

Majlis Perundingan Melayu (MPM) juga secara konsisten telah lama melaungkan agenda yang sama. Bahkan pada tahun 2021, MPM pernah menggesa menggesa Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi meneliti isu pendedahan dalam ‘Kertas Pandora’ berhubung transaksi kewangan yang menyalahi undang-undang negara membabitkan beberapa individu berpengaruh.

MPM merasakan yang penubuhan RCI dijangka dapat memberikan pencerahan kepada segala kekeliruan di kalangan rakyat tentang isu tersebut.

Sila layari kenyataan MPM tersebut – https://www.astroawani.com/berita-malaysia/pandora-papers-mpm-gesa-pm-tubuh-jawatankuasa-khas-siasatan-rci-324895

Kertas Pandora bukanlah satu isu baru. Bahkan semasa Anwar menjadi ketua Pembangkang, beliau pernah meminta kerajaan ketika itu, untuk segera menyiasat segala pendedahan dalam Pandora Papers.

Gesaan Anwar itu boleh dibaca di sini – https://m.malaysiakini.com/news/595090

Untuk imbas kembali, beberapa pihak media sebelum ini telah memetik Pandora Papers yang mendedahkan ratusan pemimpin dunia, ahli politik, hartawan, selebriti, dan ramai lagi individu yang dilaporkan menyembunyikan wang dan pelaburan mereka dalam hartanah, kapal persiaran dan aset lain, sepanjang 25 tahun lepas.

Ini didedahkan menerusi 12 juta fail yang dimiliki 14 firma di serata dunia.

Menurut pendedahan itu, dua individu daripada Malaysia didakwa antara 336 ahli politik yang memiliki akaun luar pesisir dan terdapat 118 syarikat luar pesisir dengan pemilik berasal dari Malaysia.

Sekarang sudah sampai masanya untuk kita menyiasat dengan lebih terperinci akan masalah ini.

Nota – Shahbuddin Embun adalah Penganalisis Politik merangkap Pengerusi Biro Politik Dan Kepimpinan MPM ( Majlis Perundingan Melayu)

0

No comments: