AMARAN ANWAR , PENSAKAW HARUS BERHATI-HATI-PALING PENTING, DANA BERBILION DIPUNGGAH BEKAS PM, BEKAS MENTERI KEWANGAN ITU MESTI DAPAT DIAMBIL SEMULA

 

Di luar daripada kelaziman, sambutan ambang tahun baru di era Anwar Ibrahim kali pertama sebagai Perdana Menteri malam tadi dimeriahkan dengan munajat serta doa kepada Allah di Masjid Putra, Putrajaya.

Tiada sambutan dengan hiburan, nyanyian, pergaulan bebas serta tembakan bunga api ke udara sebagaimana kelaziman.

Kali pertama juga perutusan khas tahun baru disampaikan oleh Perdana Menteri di dalam masjid dengan dipancarkan ke seluruh negara melalui penyampaian tanpa teks yang memberi gambaran tulennya keikhlasan yang terpancar daripada lubuk hati penyampainya.

Perutusan yang disampaikan pula penuh dengan pesanan serta nasihat, memperlihatkan iltizam kebersamaan untuk membela rakyat, memperjuangkan keadilan, menangani rasuah dan membina semula negara.

Apabila menyebut mengenai rasuah dan membina semula negara, ia tentunya tidak terlepas daripada memperkatakan kecurangan silam yang walaupun sesetengah pihak merasakan tidak perlu lagi diungkit cerita-cerita lama.

Sebagai pengajaran dan supaya tidak hilang pedoman, kisah-kisah lama sebenarnya perlu diceritakan semula agar sempadan tidak lagi mudah dilanggari.

“Saudara, kalau ada kesan peribadi kepada saya, saya boleh maafkan, malah saya telah maafkan.

“Ini bukan soal politik kepartian, ini tugas rakyat Malaysia kalau nak jamin negara ini selamat,” kata Anwar mengenai sikapnya yang tidak akan membiarkan perkara lalu berlalu begitu saja.




Perdana Menteri seterusnya berkata, negara akan selamat, terangkat martabat serta harakatnya jika semua pihak mempunyai tekad untuk menghentikan amalan salah guna kuasa dan rasuah.

Menurut Anwar, kerajaan yang dipimpinnya akan menamatkan amalan rasuah yang didakwanya menggunakan kepimpinan politik dan kedudukan dalam kerajaan sebagai “kesempatan untuk memunggah kekayaan.”

Walaupun tidak menyentuh secara langsung pentadbiran atau nama pemimpin yang dimaksudkannya, namun beliau menyebut pihak berkenaan sebagai “pernah menjadi Menteri Kewangan” dan “bekas Perdana Menteri” sebelum ini.

“Saya nak sebut bahawa sikap kita jelas, negara ini negara hukum, badan penguatkuasaan diberi kuasa sepenuhnya untuk memantau.

“Tetapi saya nak nasihat juga rakan-rakan saya yang lain, yang bercakap soal bersih dan hari-hari, saban hari menyerang beberapa tokoh dalam kerajaan perpaduan.

“Apatah lagi orang-orang yang pernah menjadi Menteri Kewangan dan Perdana Menteri yang tatkala mereka berkuasa itu bukan dipungahnya ratusan juta ringgit, bilion ringgit dipunggah.

“Jadi saya nak nasihatkan bahawa kerajaan ini akan pastikan sekurang-kurangnya sebahagian daripada dana yang dipunggah itu dipulangkan semula kepada rakyat.

“Ini bukan kecil jumlahnya,” kata Anwar lagi tanpa memperincikan dakwaannya itu.

Persoalan lain yang segera muncul berikutan itu ialah siapakah bekas Perdana Menteri dan bekas Menteri Kewangan yang beliau maksudkan itu?

Adakah ia Tun Mahathir Mohamad yang pernah memegang jawatan Menteri Kewangan ketika menjadi Perdana Menteri?

Adakah ia Daim Zainuddin, bekas Menteri Kewangan ketika era Tun Mahathir?

Apakah ia Najib Razak yang ketika menjadi Perdana Menteri, turut memegang jawatan Menteri Kewangan?

Ataukah ia Mahiaddin Md Yassin yang ketika menjadi Perdana Menteri telah menguatkuasakan darurat, lalu banyak perbelanjaan kerajaan dilihat meragukan?

Siapa pun mereka, yang penting sebagaimana disebut Anwar dalam perutusan khas tahun barunya malam tadi – “badan penguatkuasaan harus memikirkan bagaimana helah dan cara supaya jangan rakyat miskin terpukau dengan janji dan slogan kononnya bersih, padahal diselaput dengan ratusan juta kekayaan yang telah dipunggah” dan “sekurang-kurangnya sebahagian daripada dana yang dipunggah itu dipulangkan semula kepada rakyat” – ini benar-benar merupakan azam tahun baru yang pelakunya serta pengembalian dana yang dipunggah itu dapat disaksi sendiri rakyat akhirnya.

Jika tidak, perutusan khas dalam masjid malam tadi tidak bermakna apa-apa.. – ShahbudinHusin 01/01/2023.


No comments: