SALAHUDDIN TAK SUKA BERJANJI

 

Oleh: SHAHBUDIN EMBUN.

“Saya tidak mahu jadi seorang menteri yang banyak berjanji. Harapan rakyat terlalu tinggi”.Begitulah yang pernah diungkapkan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub ketika pernah ditanya dalam satu temubual yang ditayangkan di sebuah stesen tempatan tidak lama dahulu.

Mungkin itu sebabnya kita perhatikan gerak kerja Salahuddin amat berhati-hati dalam melaksanakan sesuatu program.

Bahkan KPDN telah menegaskan , kementerian ini tidak akan mengambil pendekatan terburu-buru dalam menyelesaikan masalah kekurangan bekalan makanan di pasaran.

Tanggungjawab dan peranan yang dipikul oleh Salahuddin ternyata amat besar. Hampir setiap hari ada sahaja terdengar pelbagai keluhan dari pelbagai peringkat masyarakat yang masih mahukan penyelesaian pantas dalam menangani kos sara hidup.

Masih ramai lagi yang mahukan kerajaan mencari formula dan kaedah yang pantas untuk menurunkan harga barangan.

Salahudin tahu, setiap langkah kementerian di bawahnya akan diperhati dan dinilai oleh setiap lapisan masyarakat.

Beliau tidak boleh memuaskan hati setiap orang. Bahkan jika ada langkah yang baik dilakukan pun, pastinya ada juga kritikan yang dilemparkan.

Dalam hal ini, Salahudin bukanlah pemimpin yang takut dengan kritikan.


Bahkan ketika dari dahulu lagi, sewaktu Salahudin menjadi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia, beliau sering menekankan bahawa beliau sentiasa menghargai semua kritikan, pendapat dan cadangan, dan akan perhalusi setiap perincian ini bersama kementeriannya.

Bagi Salahudin teguran yang dibuat bukan suatu yang mengaibkan, sebaliknya menerimanya secara terbuka bagi memperbaiki setiap kelemahan.

Pastinya ada kritikan yang dilemparkan dengan membabi buta, bermakna apa juga yang dilakukan, adalah salah di mata yang mengkritik.

Namun masih banyak pandangan dan kritikan membina yang boleh diberikan perhatian dan diperhalusi lagi.

Inilah kelebihan yang dimiliki oleh Salahudin yang mengetepikan sebarang ego agar dapat terus mencari jalan untuk kebaikan dan kelestarian para pengguna semua.

Dalam diam-diam, banyak juga yang telah dilakukan oleh KPDN untuk masyarakat sejak Salahudin menerajui kementerian ini.

Contohnya, baru-baru ini, KPDN telah menjayakan program Rahmah (Kasih Sayang), khas untuk mereka yang paling memerlukan dalam kalangan B40.

Ini merupakan satu program yang sangat baik untuk dilaksanakan dan untuk memastikan program ini berjaya dilaksanakan, Salahuddin akan mengadakan perbincangan hati ke hati dengan beberapa pemain utama industri seperti Giant, NSK, 99 Speedmart dan lain-lain lagi nama rantaian pasaraya yang terkenal.

Usaha yang dilaksanakan ini pastinya dapat memberi kelegaan dan membantu rakyat meneruskan kehidupan seharian dalam keadaan ekonomi yang semakin mencabar ketika ini.

Beliau menjelaskan bahwa, kerajaan telah menetapkan beberapa pelan jangka masa pendek, sederhana, dan panjang dalam mengendalikan isu kos sara hidup.

Ahli Parlimen Pulai itu sedar jawatan yang dipegangnya sebagai menteri perlu dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab dan amanah.

Itu sebabnya, sejak dari dahulu lagi, Salahudin sangat berpegang pada kedua-dua prinsip ini untuk terus memikul beban tugas ini dengan sebaik baiknya.

Nota – Shahbudin Embun adalah seorang penganalis politik merangakap Pengerusi Biro Politik Dan Kepimpinan, Majlis Perundingan Melayu atau MPM.