ANWAR SAMAN PEMFITNAH TINDAKAN PALING TEPAT, MALAH MAHKAMAH PATUT NAIKKAN LAGI HUKUMAN

 

Sehingga ini tiga pemimpin PN telah diambil tindakan undang-undang oleh Perdana Menteri, Anwar Ibrahim kerana memfitnah dan membuat tuduhan palsu.

Mereka ialah Mahiaddin Md Yasin, Pengerusi PN; Razman Zakaria, Ketua Pas Perak dan Ahmad Amzad Hashim, Ahli Parlimen Pas Kuala Terengganu.

Mahiaddin dan Ahmad Amzad disaman kerana membuat tuduhan palsu bahawa Anwar ketika menjadi Penasihat Ekonomi Selangor telah membuat tuntutan sebanyak RM15 juta.

Pejabat Menteri Besar Selangor telah menafikan dakwaan berkaitan tunturan RM15 juta itu dan menegaskan bayaran simbolik yang diterima Anwar hanyalah sebanyak RM1.

Selain itu, Ahmad Ahmad juga disaman kerana mempertikaikan pengampunan diraja yang diberikan kepada Anwar pada 2018 atas tiga sabitan salah guna kuasa dan liwat.

Razman pula disaman berhubung ucapannya yang mengaitkan Anwar dengan dakwaan membawa agenda lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di negara ini dan menyokong agenda komunis.

Semua saman terhadap mereka itu dikemukakan Anwar atas kapasiti peribadinya.

Tindakan Anwar mengemukakan semua saman itu tidak bermaksud untuk menghalang kebebasan bersuara atau kepimpinannya tidak sedia dikritik, tetapi semua tuduhan yang dibuat itu adalah fitnah dan palsu.

Mengkritik dan menegur, terutama dalam konteks politik adalah jauh berbeza dengan membuat tuduhan palsu serta memfitnah.

Sebagamana Islam mengharamkan melakukan fitnah dan ia merupakan suatu dosa yang besar, apa yang dilakukan Anwar sebenarnya sangat tepat lagi wajar.

Mendepani fitnah, tak kira siapa pun yang dituduh demikian, membuat penafian atau penjelasan semata-mata sebenarnya tidak lagi memadai.

Pembuat fitnah akan terus melakukan kerja jahat dan terkutuk itu jika sekadar dilawan dengan penafian atau penjelasan saja.

Ini kerana ia tidak memberi ketakutan kepada mereka untuk meneruskan fitnah yang sama atau fitnah yang lain di waktu yang berlainan, terutama melalui luasnya medium media sosial sekarang ini.

Hanya dengan disaman atau diambil tindakan undang-undang saja boleh memberi ketakutan atau pengajaran kepada mereka terbabit.

Begitu pun, untuk lebih berkesan menangani fitnah yang kesannya membunuh jiwa manusia, hakim-hakim seharusnya turut sama memainkan peranan membendung amalan fitnah dengan mengenakan hukuman setinggi mungkin jika terbukti kesalahannya.

Misalnya jika pembuat fitnah disaman RM5 juta atau RM10 juta, hakim atau mahkamah harus mempertimbangkan untuk mengekalkan amaun denda yang dituntut itu atau menaikkan lagi jumlahnya mengikut keseriusan kesalahan yang dilakukan.

Jangan lagi hukuman denda memfitnah sekadar serendah RM5 ribu, RM10 ribu atau seumpamanya.

Jumlah sekecil itu tidak mendatangkan sebarang pengajaran kepada pembuat fitnah, malah tidak memberi ketakutan untuk mereka mengulanginya lagi.

Dalam hal ini, melalui saman yang diambilnya, Anwar telah memberi mesej yang jelas iaitu beliau dan kerajaan pimpinanya ini tidak akan sama sekali berkompromi dengan segala bentuk fitnah, meski yang melakukannya memakai kopiah.

Di banyak negara lain, pemimpin atau ketua negara mereka juga kerap mengambil tindakan undang-undang jika difitnah dengan tuduhan palsu.

Pemimpin dalam negara kita juga tidak kurang yang berbuat demikian sebelum ini.

Pokoknya, kalau pun pembuat fitnah tidak takut dengan dosa dan pembalasan Tuhan atas kejahatan mereka, sekurang-kurangnya mereka ada sedikit gentar bila terpaksa membayar denda dengan jumlah yang besar. – ShahbudinHusin 09/12/2022.