Dolak dalik bekas Perdana Menteri, Najib Razak dan orang kanannya
berhubung debat bersama Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Anwar
Ibrahim memperlihatkan kegentaran pada pihak pemimpin Umno itu.
Menurut Pengarah Komunikasi KEADILAN, Fahmi Fadzil, alasan yang
ditimbulkan para penyokong Najib bahawa bulan Ramadan hanya untuk beribadat dan
bukan berdebat tidak boleh diterima.
Katanya, junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w turun berperang pada
bulan yang mulia ini, debat untuk mencari kebenaran tentulah tidak dihalang
oleh Islam.
"Dalam sejarah Islam, Nabi Muhammad s.a.w pernah berperang di
bulan Ramadan. Fathul Makkah juga di bulan Ramadan.
"Dalam sejarah Malaysia, pilihan raya kecil Sungai Besar,
Kuala Kangsar pada 2016 dan Permatang Pasir pada 2009 pun pernah dibuat di
bulan Ramadan," katanya.
Fahmi jelas kecewa kerana debat yang ditunggu tunggu rakyat itu
terpaksa ditunda ke bulan Syawal. Katanya, selepas Hari Raya Aidilfitri
sepatutnya debat tidak ditangguhkan lagi dan diumumkan tarikh serta masanya.
"Tapi sekarang nak debat kena tunggu Syawal. Padahal dia yang
cabar debat.
“Let’s rock!” After Raya…," katanya lagi.
Fahmi dilantik oleh Datuk Seri Anwar untuk berbincang dengan pihak
Najib bagi menentukan tarikh, masa dan tempat dilangsungkan debat.