NGO dedah hampir 50% kes kematian dalam tahanan libatkan kaum melayu.Melayu tak ada kesedaran-lagi pula kaum kerabat tak terima dan biar lah nak mati pun.

 


NGO dedah hampir 50% kes kematian dalam tahanan libatkan kaum melayu. STATISTIK kerajaan menunjukkan lebih 50% kematian di dalam penjara atau lokap di negara ini melibatkan kaum Melayu, walaupun terdapat anggapan salah bahawa majoriti mangsa adalah daripada kaum India.

Pengarah Eksekutif Menghapuskan Kematian dan Penderaan Dalam Tahanan (Edict) Khalid Mohd Ismath berkata ini kerana biasanya kurangnya rungutan daripada keluarga kaum Melayu berhubung kejadian tersebut.

Beliau juga berkata bahawa tidak seperti kematian dalam tahanan yang melibatkan kaum India, kes-kes yang melibatkan orang Melayu sering tidak dilaporkan kerana keluarga memilih untuk tidak mengetengahkan perkara itu kerana malu.

“Majoriti (kematian dalam tahanan) melibatkan orang Melayu. Kebiasaannya ia tidak diketengahkan kerana keluarga. Sukar untuk meyakinkan mereka untuk melawan kerajaan terutama yang ada di kampung.

“Semangat feudalisme kuat di kawasan luar bandar. Seringkali merasa merasakan keluarga mereka layak menerima hukuman,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Edict bahkan cuba membawa bekas hakim dan pemimpin agama untuk meyakinkan keluarga Melayu di Kelantan bagi mengambil tindakan terhadap kes kematian dalam tahanan tetapi tidak berhasil, katanya.

“Contohnya ada kes di Kelantan. Lelaki itu penagih dadah dan dia mati di penjara tetapi isteri tidak mahu kes itu mendapat perhatian media.

“Akhirnya dia menerima sejumlah pampasan daripada jabatan penjara,” katanya.

Dari 2013 hingga 2017, data Kementerian Dalam Negeri menunjukkan bahawa terdapat 1,293 kematian tahanan di dalam penjara.

Sebanyak 720 kematian melibatkan kaum Melayu (55.7%) diikuti oleh Cina sebanyak 215 (16.6%), India sebanyak 178 (13.8%), warga asing (157,12.1%) dan yang lain-lain sebanyak 23 kematian dengan 1.8%.

Sementara itu, dari tahun 2008 hingga 2018 terdapat 132 kematian tahanan dalam lokap iaitu dengan kaum Melayu seramai 53 orang (37.9%), India 34 orang (24.3%), Cina 28 orang (20%), warga asing 22 orang (15.7%) dan lain-lain seramai tiga orang dengan 2.1%.

Dari Januari hingga kini, terdapat 19 kematian dalam tahanan yang masing-masing tujuh adalah Melayu dan warga asing, empat daripadanya adalah India sementara seorang tidak diketahui.

Kes kematian dalam tahanan terbaru melibatkan rakyat Malaysia adalah pemandu lori Vinaiyagar K Thinpathy.

Isteri Vinaiyagar, Navaneetham Nagappan mendakwa mayat suaminya mengalami lebam selepas meninggal dunia di Ibu Pejabat Polis Kuala Langat selepas ditahan pada 8 September.

Bapa kepada lima anak itu meninggal dunia pada Isnin, 13 September dan bedah siasat menunjukkan bahawa punca kematian disebabkan oleh ulser pecah di perutnya.

Navaneetham bagaimanapun menegaskan bahawa suaminya tidak menghidap sebarang penyakit sebelum ditahan. Dia juga mendakwa tahanan lain mendengar Vinaiyagar menjerit meminta tolong.

“Kami sudah menghubungi wakil keluarga dan memberitahu bahawa mereka akan memberikan undang-undang percuma tetapi masih belum ada sebarang arahan,” kata Khalid.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Nik Ezanee Mohd Faisal baru-baru ini berkata, siasatan akan dilakukan terhadap kematian berkenaan.

Khalid berkata kebiasaannya pegawai yang terlibat dalam kes kematian tahanan adalah bangsa yang sama dengan tahanan.

“Ia seperti tradisi di antara mereka untuk menangani kes sesame mereka sendiri. Pegawai Melayu akan memukul tahanan Melayu, pegawai India akan memukul tahanan India dan begitu dengan kes dengan tahanan Cina,” kata Khalid sambil menambah bahawa ini berdasarkan pemerhatiannya sendiri sepanjang menghabiskan masa di penjara.

Sumber:

No comments: