KUALA LUMPUR – Menteri kanan yang dikaitkan dengan salah laku hubungan sejenis sebagaimana terpapar dalam video yang viral sejak kebelakangan ini harus menyahut cabaran lelaki bernama Haziq Abdul Aziz yang mahu menyamankan di mahkamah untuk membuktikan kebenaran dakwaan itu.
Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan, Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor berkata, dakwaan itu menjadi lebih serius kerana ia melibatkan seorang menteri yang dinamakan sebagai Datuk Seri Mohamad Azmin Ali.
“Kita semua sedia maklum dakwaan salahlaku yang dilemparkan terhadap menteri kanan kerajaan Persekutuan itu baru-baru ini.
“Dakwaan dibuat dengan paparan video dan pengakuan oleh seorang yang bernama Haziq yang juga merupakan seorang penjawat awam di sebuah kementerian kerajaan Persekutuan.
“Isu ini menjadi lebih serius apabila individu tersebut membuat cabaran terbuka untuk menteri yang dia namakan iaitu Menteri Ekonomi untuk menyamannya di mahkamah bagi membuktikan kebenaran dakwaannya,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini, semalam.
Menurut Mohamad Ezam, pada hematnya, menteri berkenaan perlu menyahut cabaran itu dan mengambil peluang di mahkamah untuk membuktikan dakwaan itu palsu dan sekali gus membersihkan namanya.
Sebagai seorang menteri kanan, katanya, menjawat jawatan kanan dalam parti pemerintah dan antara tokoh yang disebut mempunyai potensi untuk menjadi perdana menteri, beliau wajib membersihkan namanya di mahkamah secara terbuka kerana menjadi orang nombor satu negara memerlukan imej dan rekod bersih bagi menjamin keutuhan negara tidak tergugat.
“Saya sendiri pernah mengakui potensi beliau sebagai pemimpin khususnya berdasarkan rekod cemerlangnya mentadbir negeri kelahiran saya Selangor dan membantunya di Selangor dalam Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu.
“Namun, apabila dakwaan serius begini tampil, proses membersihkan nama daripada tuduhan berat mesti dilakukan secara telus dan tanpa kompromi.
“Perlu dijelaskan, isu ini bukan hanya sekadar klip video yang tersebar secara rambang tanpa sumber. Ia membabitkan pelaku yang telah membuat pengakuan secara terbuka dan juga telah membuat cabaran secara terbuka,” katanya.
Oleh itu, ujar beliau, ia mesti dijawab dan dijelaskan melalui proses pengadilan yang telus serta adil.
Katanya, dalam Malaysia baharu yang diisytiharkan telus dan sistem pengadilannya tentulah juga adil, sewajarnya setiap warga, apatah lagi pemimpin kerajaan sendiri menggunakan medan yang dihormati dan mempunyai kredibiliti untuk mencari keadilan dan kebenaran. – MG