Tuesday, February 12, 2019

MTE SEKADAR PENUHI KUOTA ?




MENGAPA NAMA TPM DAN ANWAR SEBAGAI BAKAL PM DICICIRKAN DALAM MAJLIS TINDAKAN EKONOMI?


Pejabat Perdana Menteri mengumumkan penubuhan Majlis Tindakan Ekonomi (Economic Action Council) yang akan bertindak untuk meneliti dan membuat keputusan berkaitan hal ehwal ekonomi dan kewangan serta kebajikan rakyat. 

Majlis ini ditubuhkan bagi menyahut dan bertindak ke atas maklum balas rakyat jelata terhadap masalah yang mereka hadapi, khususnya dalam bidang ekonomi.

Matlamat utama Majlis ini adalah untuk merancakkan dan merangsang pertumbuhan ekonomi yang mampan, pengagihan kekayaan yang saksama, dan seterusnya meningkatkan kesejahteraan rakyat. 

Majlis ini juga akan meneliti isu-isu berkaitan kos sara hidup, guna tenaga, kemiskinan dan pemilikan rumah. 

Berikut adalah senarai ahli-ahli majlis:

1. Tun Dr. Mahathir Bin Mohamad – Perdana Menteri dan Pengerusi Majlis

2. Datuk Seri Azmin Ali – Menteri Hal Ehwal Ekonomi

3. Tuan Lim Guan Eng – Menteri Kewangan

4. Datuk Ignatius Darell Leiking – Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri

5. Tuan Baru Bian – Menteri Kerja Raya

6. Dr Muhammed Abdul Khalid – Penasihat Ekonomi Perdana Menteri
  
 7. Tan Sri Rafidah Aziz – Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri

8. Tan Sri Zeti Akhtar Aziz – Pengerusi Permodalan Nasional Berhad 

9. Professor Dr. Jomo Kwame Sundaram – Ahli Majlis Penasihat
Kerajaan (CEP)

10. Tan Sri Dato' Sri Tay Ah Lek – Pengarah Urusan Public Bank

11. Dr Hasnita Hashim – Pengerusi Majlis Amanah Rakyat

12. Datuk Shireen Ann Zaharah binti Muhiudeen – Pengerusi Bursa
Malaysia

13. Tan Sri Dato' Dr Mohd Munir Abdul Majid – Pengerusi Asean
Business Advisory Council, Malaysia

14. Dato’ Dr Paul Selvaraj – Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan
Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA)

15. Bah Tony @ Amani William Hunt Abdullah – Peguam

16. Encik Nizam Mahshar – Ahli Lembaga Pemegang Amanah, Institut MASA

Pelantikan ini berkuatkuasa serta merta.

Sekretariat bagi Majlis ini adalah Unit Penyelarasan Perlaksanaan di Jabatan Perdana Menteri.


PEJABAT PERDANA MENTERI PUTRAJAYA
11 Februari 2019.

ULASAN BLOG - Dua perkara menjadi persoalan di sebalik perlantikan dalam Majlis Tindakan Ekonomi yang diumumkan oleh Pejabat Perdana Menteri ini.

Pertama, mengapa nama Dr. Wan Azizah Wan Ismail selaku Timbalan Perdana Menteri tidak dimasukkan?

Apakah kedudukan beliau sebagai pemimpin nombor dua dalam kerajaan tidak dianggap penting oleh Tun Mahathir Mohamad?

Kalau Azmin Ali, Lim Guan Eng, Darell Leiking dan Baru Bian yang merupakan menteri-menteri kabinet boleh dilantik dalam majlis tersebut, mengapa tidak dengan Timbalan Perdana Menteri?

Apakah kedudukan menteri tersebut lebih penting berbanding Timbalan Perdana Menteri?

Kedua, mengapa juga nama Anwar Ibrahim sebagai bakal Perdana Menteri yang telah dipersetujui akan mengambil alih tampuk kerajaan hanya kira-kira setahun lebih daripada sekarang, turut diketepikan?

Bukankah sebagai pemimpin yang bakal mengambil alih teraju kerajaan selepas ini, Anwar sebaiknya dilibatkan sama dalam Majlis Tindakan Ekonomi?

Lebih daripada itu, janganlah dilupa bahawa Anwar pernah ada pengalaman sebagai Menteri Kewangan sebelum ini?

Kalau Rafidah Aziz sebagai bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri boleh dilantik dalam Majlis Tindakan Ekonomi itu, apa kurangnya dengan Anwar?

Apa "permainan" Tun Mahathir di sebalik menidakkan kedudukan Dr. Wan Azizah dan mencicirkan nama Anwar kali ini?

Betul-betul mahu menyelesaikan masalah ekonomi negara yang caca-marba atau lebih bertujuan politik? (ShahbudinHusin 11/02/2019)

No comments:

Blog Archive

My Blog List

Followers