Utusan bantai Najib, apa cerita?


Utusan Malaysia menerusi tulisan Awang Selamat yang selama ini kuat mengkritik Pakatan Harapan dan mengangkat dakyah serta propaganda UMNO nampaknya sudah menukar haluan dengan menyalah bekas presiden parti itu.
Jika sebelum ini, akhbar berbahasa Melayu dan dinaungi UMNO itu sering mempertahankan watak utama skandal 1MDB, Datuk Seri Najib Razak, ia kini seolah-olah lepas tangan dan berputus asa.
Pojok Awang Selamat dalam Mingguan Malaysia semalam berkata Najib Razak berbohong apabila mengatakan tidak tahu-menahu mengenai sumber wang yang masuk ke dalam akaun banknya dalam wawancara dengan media antarabangsa, Al Jazeera baru-baru ini.
“Pendedahan Najib Razak yang beliau sebenarnya tidak tahu sumber wang yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya menyebabkan rakyat Malaysia terutamanya ahli UMNO berasa tertipu kerana selama ini mereka menerima kenyataan beliau bahawa wang itu sebenarnya adalah sumbangan daripada kerajaan Arab Saudi.
“Adalah tidak masuk akal yang Najib tidak tahu dari mana sumber sebenar jumlah wang yang besar itu… Akhirnya pembohongan Najib terbongkar dalam wawancara bersama Mary Ann Jolley dalam siaran Al Jazeera baru-baru ini.
“Najib harus memohon maaf kepada semua ahli UMNO kerana pembohongan inilah sebenarnya yang telah menghilangkan keyakinan rakyat kepada kepimpinan BN dan akhirnya menyebabkan parti komponen itu hilang kuasa memerintah,” tulis Awang Selamat.
Dalam masa sama, bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata penyokong tegar Najib, Datuk Lokman Noor Adam mempunyai “IQ yang rendah pada tahap lobak”
Semua ini gara-gara bidasan Lokman terhadap Khairy yang menyalahkan 1MDB sebagai punca kekalahan BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
http://
Menerusi Twitter, Khairy mendakwa kekalahan BN adalah disebabkan oleh 1MDB sambil berkongsi pautan berita yang melaporkan kenyataan Najib Razak bahawa kekalahan gabungan itu adalah disebabkan dakwaan serta janji palsu PH.
Tidak cukup dengan itu, kedudukan Datuk Seri Zahid Hamidi sebagai Presiden UMNO turut digugat. Beliau adalah bekas timbalan kepada Najib Razak dan secara langsung mempertahankan bekas Presiden UMNO itu berhubung skandal 1MDB. Beliau juga dihadapkan ke mahkamah dengan pelbagai tuduhan pecah amanah.
Segala tindakan ini, secara halus memperlihatkan UMNO kini mahu meninggalkan bagasi politik lama dan mencari jalan untuk meneruskan survival, apatah lagi selepas timbul khabar angin bahawa 40 Ahli Parlimennya sedang disunting parti lawan.
Namun tidak seorang pun yang berani ke hadapan dan menyatakan dengan jelas dan tuntas bahawa 1MDB adalah punca kekalahan BN, seperti mana yang dikatakan Khairy.
Justeru kenyataan yang dibangkitkan Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang agak menarik untuk disingkap.
“Benarkan setiap Ahli Parlimen Pembangkang menyatakan pendirian mereka semasa perbahasan Belanjawan yang akan bermula pada 12 November, sama ada skandal 1MDB adalah bencana besar negara dan sama ada Najib harus bertanggungjawab kerana menyebabkan Malaysia menjadi sebuah kleptokrasi global atau semua perkara yang dikatakan oleh kerajaan Pakatan Harapan berhubung skandal 1MDB adalah penipuan dan fitnah?”
Adakah UMNO berani untuk menyahut cabaran ini bagi menghumban bagasi politik lama dan membina haluan baharu dengan kepimpinan yang lebih segar?