MT UMNO MESTI BERANI PADA 9 NOVEMBER INI



MT UMNO telah menetapkan 9 November ini sebagai tarikh mesyuarat untuk membincangkan kedudukan Zahid Hamidi sama ada beliau perlu bercuti atau sebaliknya sebagai Presiden UMNO.

Difahamkan MT UMNO biasanya mengadakan mesyuarat bulanannya pada Jumaat terakhir setiap bulan, tetapi kali ini ia sengaja dilewatkan kerana Zahid Hamidi baru saja didakwa di mahkamah dengan 45 pertuduhan pada 19 Oktober lalu.

Beberapa pihak dalam UMNO, termasuk Timbalan Presiden, Mohamad Hassan dan Pergerakan Pemuda  lebih cenderung mahukan Zahid Hamidi bercuti sementara kesnya selesai.

Alasannya ialah Zahid Hamidi harus diberi ruang menyelesaikan kesnya secara peribadi tanpa melibatkan nama UMNO.

Begitupun, selain ada pihak lain yang mempunyai pendapat berbeza, Zahid Hamidi juga tidak menunjukkan sebarang tanda mahu berundur, malah dalam beberapa ucapannya beliau bertegas untuk terus bertahan dengan jawatannya.

Selain itu, beliau juga sudah menjelajah ke beberapa negeri untuk bertemu akar umbi bagi menjelaskan kewajarannya tidak mahu berundur atau bercuti seketika sebagaimana yang dituntut itu.

Dalam hal ini, mesyuarat MT pada 9 November ini dijangka akan menyaksikan wujudnya perbezaan pendapat di mana satu kumpulan mahukan Zahid Hamidi terus kekal dan satu kumpulan lagi berkehendakan beliau berundur daripada jawatannya.

Tetapi, demi kebaikan dan masa depan parti itu, adalah penting untuk MT UMNO membuat keputusan yang betul pada 9 November nanti.

Setelah kehilangan kuasa dan melihat bagaimana UMNO ditolak rakyat kerana terlalu membela Najib Razak yang terkait dengan skandal 1MDB sebelum ini, MT UMNO seharusnya belajar daripadanya dalam membuat keputusan berkaitan Zahid Hamidi pada 9 November ini.

Mengekalkan lagi Zahid Hamidi di sebalik 45 kes mahkamah yang sedang dihadapinya hanya memberi makna UMNO masih tidak berubah dan kekal dengan sikap mahu mengekalkan pemimpin, biarpun dalam keadaan imejnya sudah tercalar sekali pun.

Dalam keadaan begitu, bagaimanakah rakyat mahu kembali memberi sokongan kepada UMNO?

Lagi pula, dengan 45 pertuduhan yang sedang dihadapinya adalah tidak logik untuk mengatakan pendakwaan terhadap Zahid Hamidi itu adalah semata-mata bermotif politik dan merupakan pendakwaan terpilih.

Bagi mereka yang mahu berfikir pula, kes yang sedang dihadapi Zahid Hamidi adalah suatu kes yang mudah, jelas dan ternampak sukar bagi beliau untuk terlepas daripadanya.

Untuk itu, MT UMNO perlu, malah wajib menunjukkan keberaniannya dalam membuat keputusan yang lebih mementingkan masa depan parti berbanding membela mana-mana individu pada 9 November ini.

Jika tidak, bersiaplah untuk UMNO terus ditolak yang sekaligus memberi peluant kepada Pakatan Harapan memerintah negara ini dengan lebih lama lagi. (ShahbudinHusin 05/11/2018)

No comments: