SAYANG PEMIMPIN ATAU SAYANG PARTI?



Selain banyak sebab lain yang bukan lagi rahsia sebagai punca kalah dan hilangnya kuasa UMNO, salah satu sebab terbesarnya ialah keengganan pemimpin dan ahli UMNO menyingkirkan Najib Razak sebelum PRU14 yang lalu.

Meskipun Najib ketika itu belum lagi dibawa dan didakwa di mahkamah, tetapi bebasnya beliau daripada sebarang pendakwaan lebih kerana cengkamannya terhadap Pejabat Peguam Negara yang pada waktu itu diketuai oleh Apandi Ali.

Najib sebelum itu telah menukar secara tergesa-gesa dan kontroversi Peguam Negara daripada Gani Patail kepada Apandi Ali.

Lantaran itu, di mata rakyat, berikutan skandal 1MDB yang menjadi bualan di seluruh dunia,  Najib dilihat sebagai seorang yang ada banyak kesalahan, tetapi berjaya melindungi kesalahannya di sebalik dinding tebal yang dibina melalui pertukaran Peguam Negara.

Kalaulah ketika itu pemimpin dan ahli UMNO mendengar dengan jujur denyut nadi rakyat dan sedia menyingkirkan Najib sebelum PRU14, apa yang berlaku hari ini tentulah tidak menjadi tatapan ke seluruh dunia.

Saya sendiri pada 2016 ada menulis sebuah buku yang bertajuk "Kad Merah Untuk Najib"  yang menyarankan perlunya UMNO membuang dan menyingkirkannya untuk mengelakkan UMNO dan BN ditolak rakyat melalui peti undi dalam pilihanraya.

Tun Mahathir Mohamad sendiri tidak jemu-jemu mendesak penyingkiran Najib demi untuk menyelamatkan UMNO dan akhirnya beliau sendiri tampil ke depan untuk mengetuai gerakan menumbangkan Najib, UMNO dan BN melalui Pakatan Harapan.

Waktu itu, alasan tidak mahu menyingkirkan Najib ialah kerana pemimpin UMNO ternampak lebih sayangkan Najib berbanding UMNO itu sendiri.

Hanya setelah UMNO benar-benar hilang kuasa, kemudiannya barulah kita dengar beberapa pemimpin UMNO meluahkan rasa kesal kerana tidak bercakap berpaksikan kebenaran mengenai Najib.

Malangnya semua itu sudah terlambat. Selebihnya yang berdiam diri dan tidak meluahkan apa-apa kata mungkin juga ada perasaan sedemikian di dalam diri mereka, cuma agaknya masih malu untuk mengakuinya secara terbuka.

Apa yang berlaku kepada Zahid Hamidi sekarang ini sebenarnya tidak banyak berbeza situasinya dengan Najib dahulu.

Cumanya sekarang Zahid Hamidi sudah didakwa dengan 45 pertuduhan pecah amanah, menerima rasuah dan penggubahan wang haram yang jumlah keseluruhannya melibatkan lebih RM114 juta, sementara Najib hanya setelah UMNO tumbang dan Peguam Negara ditukar, barulah beliau dapat dibawa ke mahkamah.

Dalam hal ini, para pemimpin UMNO seharusnya belajar daripada kesilapan masa lalu berkaitan Najib dahulu. UMNO masih dalam proses pemulihan kesan daripada kekalahan dalam pilihanraya umum yang lalu.

Apabila Pemuda UMNO menyarankan Zahid Hamidi bercuti seketika untuk menyelesaikan kes mahkamahnya, ia adalah pendirian paling rasional yang dipelajari daripada keengganan menyingkirkan Najib sebelumnya.

Pendirian itu harus disokong dan disambut oleh pelbagai pihak lain dalam UMNO agar Zahid Hamidi setuju untuk bercuti atau MT UMNO akhirnya mengambil keputusan memberinya cuti.

Untuk meraih semula kepercayaan rakyat, UMNO tidak boleh lagi dipimpin oleh mereka yang kotor, tidak bersih atau kelihatan tidak bersih. Hanya dengan memberi cuti seketika kepada Zahid Hamidi saja pilihan terbaik ketika itu.

Mempertahankan Zahid Hamidi atau memanggil Pemuda UMNO sebagai "haprak" kerana pendirian tersebut hanya meletakkan UMNO kembali kepada ketaksuban melampau seperti era Najib dalam mempertahankan pemimpin.

Bukan tidak boleh mempertahkan pemimpin, tetapi dengan 45 pertuduhan yang dihadapinya yang bagi kebanyakan rakyat biasa umpama "terang lagi bersuluh", di manakah relevanmya menyayangi pemimpin melebihi sayang kepada UMNO itu sendiri?

Mampukah UMNO terus berhujah dan meyakinkan rakyat untuk mendapat sokongan rakyat jika sepanjang masa Presiden UMNOnya lebih banyak terpapar wajahnya berada di kandang salah mahkamah untuk mempertahankan dirinya? (ShahbudinHusin 26/10/2018)

No comments: