Pemilihan PKR: Rafizi ‘game over’?
Walaupun kira-kira 45% ahli PKR belum mengundi namun sebahagian penganalisis politik tanah air berpendapat cabaran pasukan Rafizi dalam pemilihan PKR 2018 telah pun berakhir.
Dengan ketinggalan sekitar 800 undi dalam perebutan posisi timbalan presiden berbanding Azmin Ali (memperoleh 9,377 undi secara keseluruhan), agak sukar Rafizi (8,563 undi) untuk mengejar. Biar pun Rafizi lebih banyak menang secara pada peringkat negeri berdasarkan kelebihan di cabang-cabang Perlis, Negeri Sembilan, Melaka, Kelantan, Terengganu, Wilayah Persekutuan dan Pahang namun kemenangan itu amat tipis dalam keadaan jumlah keahlian PKR yang tidak seimbang.
Azmin pasti menang
Selangor yang menjadi kubu kuat Azmin Ali misalnya mempunyai hampir 30% ahli PKR secara keseluruhan, begitu juga Sabah yang mencatat keahlian kedua tertinggi. Bila mana seseorang menang bergaya di dua negeri ini maka calon itu hanya perlu memastikan mereka kalah tipis di 12 negeri lain.
Masalah timbul apabila Azmin menang besar di Selangor. Rafizi hanya boleh kembali mendahului sekiranya mengalahkan Azmin dalam julat 900 – 1000 undi di Sabah. Sarawak pula adalah lubuk Azmin kerana 90% ketua cabang adalah ‘cai’ timbalan presiden itu.
Oleh yang demikian, tidak salah untuk mengatakan Rafizi telah tewas dan kemnya tidak perlulah lagi berkempen.
Lebih parah, calon naib presiden kem Rafizi juga tidak menunjukkan prestasi yang baik. Calon menduduki tempat teratas adalah Nurul Izah yang neutral. Namun di tempat kedua adalah Zuraida (29,911 undi), diikuti Dr Xavier (25,966 undi) dan Tian Chua (23,861 undi). Hanya empat calon ini sahaja akan dikira pemenang. Sementara calon cai Rafizi berada di kedudukan keenam, iaitu William Leong (20,528 undi) dan di tangga ketujuh, Johari Abdul (20,172 undi).
Mungkin presiden PKR, Anwar Ibrahim akan memilih Johari untuk mengisi dua kerusi naib presiden yang dilantik bagi memperkuatkan beliau menghadapi team kartel dalam Majlis Pimpinan Pusat (MPP).
Kedudukan MPP yang kelak akan menganggotai Biro Politik juga didominasi pasukan katel. Apabila 15 daripada 20 calon yang akan terpilih bukan daripada pasukan Rafizi.
Politik pintu belakang
Tujuan pasukan Rafizi bertanding dalam pemilihan kali ini semata-mata untuk menguatkan kedudukan Anwar sebagai perdana menteri ke-8. Rafizi tidak percaya politik Azmin yang tidak menunjukkan kesetiaan 100% kepada Anwar tetapi lebih kepada percaturan peribadi.
Hal ini dijelaskan beliau dalam apa yang digambarkan sebagai ‘politik pintu belakang’ ketika Azmin diangkat menjadi MB Selangor pada 2014 dan kroni beliau, Amiruddin Shari ditabal sebagai pengganti pada 2018, biar pun Pakatan Harapan (PH) bersetuju untuk melantik Dr Idris Ahmad sebagai MB baharu sebaik sahaja Tun Mahathir melantik Azmin ke jawatan Menteri Ekonomi.
Nampaknya politik main belakang ini akan terus menghantui PKR untuk bertahun-tahun selepas ini.
Kabinet mandul idea
Satu lagi sebab Anwar turut merestui cabaran Rafizi adalah ketumpulan idea kementerian yang disandang oleh pasukan Azmin. Empat daripada lima menteri kuota PKR adalah daripada team kartel. Iaitu Zuraida, Baru Bian dan Dr Xavier selain Azmin sendiri. Namun apakah idea baharu yang disumbangkan mereka?
Pasukan Azmin mandul idea. Malah menteri dari PKR ini mengecewakan kerana mentadbir negara seperti penjawat awam yang hanya memperbaiki polisi kerajaan BN terdahulu. Hal ini boleh dijangka kerana tiga menteri itu berasal dari Selangor. Mereka tidak menunjukkan kehebatan ketika memerintah negeri. 30 skim kebajikan merakyatkan ekonomi Selangor yang menjadi kebanggaan PH bukan diilhamkan oleh Azmin tetapi bekas MB, Khalid Ibrahim. Azmin mentadbir Selangor secara auto pilot kerana negeri itu telah pun hebat di tangan Khalid.
Manifesto PH idea Rafizi
Lebih menggusarkan Anwar tentulah kegagalan perancangan untuk menempatkan Rafizi di kementerian utama sekiranya beliau menjadi PM kelak. Malah majoriti menteri PH juga sedar manifesto yang gagal mereka tunaikan itu kebanyakannya diciplak daripada idea Rafizi.
Pendidikan percuma dan pemasuhan PTPTN diambil daripada Rafizi. Penyelesaian kewangan Felda juga idea Rafizi. Pemansuhan GST dan hasil gantian paling banyak dibincangkan Rafizi. Pemasuhan tol dan alternatif gantian juga berasal daripada Rafizi. Namun apabila Rafizi dan pasukannya dinafikan jawatan kabinet maka kerajaan PH menerima padah.
Menteri PH bukan sahaja terkapai-kapai untuk menunaikan janji, malah untuk memberi alasan pun mereka tidak faham susur galur manifesto yang dijanjikan. Hasilnya adalah jawapan kasar Menteri Kerja Raya, Baru Bian misalnya yang berterus terang kerajaan tiada wang untuk mansuhkan tol. Sedangkan idea asal Rafizi bukan membeli kesemua syarikat konsesi tol sebaliknya terdapat cara kreatif yang lain, dan dianggap sebagai sumbangan syarikat konsesi kepada rakyat, terutama yang telah mengaut keuntungan berlipat ganda.
PH bakal kalah PRU 15
Kerajaan PH menuju malapetaka dan hampir pasti akan dijatuhkan rakyat dalam pilihan raya umum ke 15 (PRU 15) sekiranya menyahkan pasukan Rafizi daripada kabinet Anwar. Dalam kabinet Mahathir, Azmin begitu berjaya memblok pasukan Rafizi. Hasilnya adalah ‘kabinet badut’ yang tidak mengetengahkan idea baharu. Rakyat semakin bosan dengan suasana yang tidak berubah berbanding bulan dan bintang yang dijanjikan dalam manifesto PH lalu.
Namun dengan kekalahan pasukan Rafizi dalam pemilihan PKR, maka bolehlah diramal masa depan PH akan gelap walaupun Anwar mengetuai cabaran PRU 15. Dengan kata mudah, ahli PKR adalah kader yang paling bersemangat menjatuhkan BN, kemudian mereka juga ‘bersemangat’ untuk menjatuhkan PH.
_______________________________________________________________________________
Tulisan ini adalah pendapat bebas pengarang dan bukannya pandangan rasmi WRLR