Kebebasan murtad: MP DAP mahu laman Isma Web mohon maaf
Ahli Parlimen Batu Kawan memberi tempoh selama 48 jam kepada laman Isma Web untuk memohon maaf dan menarik balik artikel yang mengulas kenyataannya tentang ratifikasi deklarasi PBB mengenai diskriminasi agama.
Kasthuriraani Patto pada sidang media di Parlimen hari ini berkata dia tidak pernah mengeluarkan kenyataan seperti yang dikatakan penulis artikel “Ahli Parlimen DAP desak hak kebebasan murtad, ajaran sesat”.
“Saya tidak pernah mengeluarkan kenyataan seperti yang didakwa dalam artikel itu. Saya ingin menegaskan di sini, saya beri tempoh selama 48 jam bermula hari ini untuk mereka minta maaf dan hentikan sebaran artikel ini,” katanya.
Artikel itu ditulis oleh Ahli Jawatankuasa Biro Islamiyat Isma, Ahmad Numan Mazlan.
Kasthurinaani di Dewan Rakyat kelmarin menggesa Malaysia meratifikasi Deklarasi tentang Penghapusan Semua Bentuk Intoleransi dan Diskriminasi Berdasarkan Agama atau Kepercayaan PBB bagi menjunjung prinsip hak asasi manusia.
Beliau merujuk kepada saranan dan syor Pelapor Khas PBB Mengenai Kebebasan Agama Atau Kepercayaan, Ahmed Shaheed, dan Suruhanjaya Amerika Syarikat Mengenai Kebebasan Agama dan Kepercayaan untuk melindungi kebebasan agama dan kepercayaan dan memastikan kebebasan itu berkembang dan dihormati mengikut lunas undang-undang