Belanjawan 2019 berpotensi tingkat pelaburan asing, pulih ekonomi
Menjelang pembentangan Belanjawan 2019, komuniti usahawan Malaysia beranggapan ekonomi negara jauh daripada pemulihan berikutan masalah hutang yang tinggi, mencecah RM1 trilion.
Seorang pemain sektor industri, Jameson Tan berkata, selagimana pelaku yang terbabit dalam skandal 1Malaysian Development Berhad (1MDB) belum dijatuhi hukuman bersalah, pelabur asing sukar untuk masuk semula ke Malaysia dan yakin terhadap sistem kewangan.
“Nampaknya negara sukar maju ke depan kalau isu 1MDB tidak boleh dibereskan dengan sempurna.
“Malaysia berada dalam situasi ‘Catch-22’ iaitu ‘mesti menunggu pelaburan asing untuk masuk ke dalam negara dulu sebelum boleh selesaikan masalah ekonomi tetapi juga perlu selesaikan masalah ekonomi dulu sebelum pelaburan asing masuk ke dalam negara’.
“Sudah jelas situasi di Malaysia rumit,” kata Jameson yang memiliki kilang di Selangor.
Walaubagaimanapun, beliau menegaskan kes mahkamah 1MDB akan diperhatikan oleh golongan usahawan yang ingin melabur di Malaysia sehubungan itu iklim pelaburan akan lembab sehingga kes 1MDB diselesaikan.
“Buat masa ini, semua usahawan sedang menunggu pembentangan Belanjawan 2019 dan sedang merancang perbelanjaan untuk tahun hadapan.
“Ini bererti keadaan ekonomi Malaysia akan suram sehingga hujung tahun 2018. Saya jangka ekonomi Malaysia hanya akan aktif semula pada awal tahun depan,” sambungnya.
Mengulas isu keberhutangan tinggi negara, Chan Ming Kai, Ahli Parlimen Alor Setar berkata, banyak janji tidak dapat ditunaikan oleh Pakatan Harapan berikutan situasi kewangan yang buruk. Misalnya janji menghapuskan lebih raya bertol yang popular tetapi menuntut kewangan sangat tinggi untuk melunaskannya
“Kerajaan tiada pilihan dan perlu terus mengutip tol akibat hutang RM1 trilion itu. Begitu juga dengan cukai-cukai baru yang akan diumumkan pada dalam Belanjawan 2019. Kerajaan memang tidak gemar berbuat demikian tetapi terpaksa melakukannya akibat situasi kewangan yang tenat”.
Chan menambah bahawa faedah terpaksa dibayar untuk hutang yang begitu tinggi itu dan rakyat perlu berkorban untuk jangka waktu tertentu sehingga kewangan pulih.
Katanya, untuk memulihkan kewangan adalah dengan menarik semula pelaburan asing yang suatu ketika dahulu, pada 1990an, membuat ekonomi Malaysia mewah.
“Sekarang rakyat dan kerajaan tidak boleh berbuat apa-apa kecuali menunggu pelaburan asing masuk ke negara kita,” kata Chan lagi.