‘Berapa kali tubuh jawatankuasa baru kos hidup dapat dikurangkan?’
Tindakan Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi menubuhkan Jawatankuasa Menanggani Kos Sara Hidup dikecam oleh banyak pihak.
Bekas Ketua Penerangan Pas, Datuk Mahfuz Omar mempersoalkan ke manakah hasil penemuan Jawatankuasa Petugas Khas Menanggani Kos Sara Hidup yang ditubuhkan pada 8 Januari 2014 di bawah Muhyiddin Yassin tahun lalu.
“Bukankah pasukan petugas khas tersebut telah menggerakan semua anggota kabinet untuk turun padang membuat tinjauan di pasar ikan dan pasaraya kononnya untuk memastikan tiada kenaikan harga barang?
“Saya percaya YAB Zahid TPM pun turun di pasar ikan di Bagan Datuk. Nampaknya yang turun ke pasar ikan dan pasaraya hanya lakonan untuk disiar di media semata-mata. Ia hanya permainan psikologi untuk rakyat agat memandang pemimpin kerajaan ini baik dan ambil berat tentang rakyat.
“Berapa kali pula Jawatankuasa Petugas Khas yang lalu bermesyuarat? Berapa kos perbelanjaan yang dibelanjakan di bawah program jawatankuasa petugas khas tersebut? Apakah langkah dan tindakan dihasilkan daripada jawatankuasa yang lalu itu? Apa jadi dengan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) darihal menanggani kos sara hidup?” tanya Mahfuz dalam satu kenyataan.
Tambah Mahfuz, penubuhan jawatankuasa yang baharu itu bukan mengurang kos hidup, sebaliknya akan menambahkan pula kos pentadbiran kerana mengadakan mesyuarat baharu dan elaun kepada anggota jawatankuasa.
“Dengan tertubuhnya jawatankuasa baru ini berapa kali pula mesyuarat hendak dibuat? Berapa banyak pula nak habiskan duit rakyat?
“Sedangkan kos sara hidup terus meningkat. Kesusahan rakyat bukan lakonan tetapi adalah kenyataan. Apa yang pemimpin nak berlakon lagi? Berhentilah berlakon.
“Kalau nak berlakon tukarlah profesyen daripada PM, TPM dan Menteri, masuk saja industri filem minta kerja dengan Erma Fatima. Boleh dia buat drama baru PAK CUN lakonan Najib Razak dan Zahid Hamidi. Menteri lain jadi pelakon tambahan. Berhentilah MENIPU RAKYAT,” sinis Mahfuz.