Najib dan Noh Didakwa Bohong Tentang Status Projek Keluarga Shahrizat

KUALA LUMPUR, 8 NOV : Kerajaan Persekutuan digesa menjelaskan dakwaan penyelewengan wang rakyat di dalam Projek Fidlot Kebangsaan (NFC) yang diusahakan keluarga menteri dan sehingga kini sudah menelan belanja RM250 juta.

Perdana Menteri, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar dan Datuk Seri Shahrizat Jalil juga harus menjelaskan tentang pembohongan yang berlaku mengenai status pinjaman yang diberikan kepada NFC.

Pengarah Strategi KEADILAN, Mohd Rafizi Ramli dalam kenyataan medianya berkata, tindakan Perdana Menteri dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berbohong di Dewan Rakyat mengenai status pinjaman yang diberikan kepada NFC adalah perkara serius.

Justeru beliau menggesa Dewan Rakyat untuk mempertimbangkan tindakan tata tertib sewajarnya kepada kedua-dua mereka atas tindakan mereka yang menghina Dewan Rakyat.

Najib pada 1 November lalu memberitahu Parlimen setakat ini hanya RM181.9 juta daripada peruntukan RM250 juta disalurkan kepada NFC, syarikat milik Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu.

Sementara Noh Omar pada 31 Oktober lalu berkata, RM250 juta kepada NFC belum disalurkan sepenuhnya.

Bagaimanapun menurut Rafizi, rekod kewangan NFC menunjukkan kesemua RM250 juta itu disalurkan sepenuhnya kepada Shahrizat sebelum 31 Mac 2009 lagi.

"Rekod kewangan NFC menunjukkan pinjaman pertama sejumlah RM130 juta telah diambil dalam tahun 2008.

"Pada 31 Mac 2009, NFC membuat drawdown kedua berjumlah RM120 juta yang dimasukkan terus ke akaun Maybank milik NFC," katanya.

NFC sebelum ini mencuri perhatian ramai apabila ia dikendalikan syarikat Agro Science Sdn Bhd yang dimiliki suami Shahrizat, Datuk Mohamad Salleh.

Syarikat itu sepatutnya membekalkan 60 ribu ekor lembu dalam masa lima tahun di bawah RMK 9 namun dalam tiga tahun pertama operasinya, ia hanya mampu membekalkan 8,016 ekor lembu.

Menurut Rafizi, kerajaan BN dijangka melupuskan hutang syarikat Shahrizat dengan kerajaan kerana operasi ternakan lembu syarikat itu rugi besar dan tidak mampu membayar kembali pinjaman yang diberikan Kerajaan Pusat.

"Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2008 dan 31 Disember 2009, NFC mengalami kerugian sebanyak RM7 juta (2008) dan RM11 juta (2009)," kata Rafizi dalam satu kenyataan hari ini.

"Jika ini berterusan, kerajaan pusat tidak ada pilihan lain kecuali melupuskan pinjaman RM250 juta yang diberikan kepada NFC seperti amalan sebelum ini yang membabitkan Perwaja dan syarikat-syarikat berkepentingan lain," ujar Rafizi.

Kerugian besar itu juga berpunca tindakan Shahrizat memberikan diskaun besar kepada restoran mewah milik keluarganya sendiri yang membeli daging lembu daripada NFC.

"Tindakan ini bertentangan dengan prinsip tata kelola yang baik apabila NFC yang dibiayai wang rakyat memberi subsidi kepada restoran mewah yang dimiliki oleh keluarga seorang menteri," tegasnya.

No comments: