Pakatan : Najib Perlu Jamin Kesucian PSC, Demi Reformasi Pilihan Raya

KUALA LUMPUR 13 SEPT : Pakatan Rakyat hari ini bersetuju untuk bekerjasama dengan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) berhubung pembaharuan pilihan raya hanya jika Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak benar-benar serius mahu mereformasikan sistem pilihan raya Malaysia.

Justeru, Najib perlu memenuhi lima syarat yang dibuat Pakatan Rakyat.

Antara lima syarat itu adalah melaksanakan lapan tuntutan Bersih 2.0, menetapkan tarikh Pilihan Raya Umum secara muafakat antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR), PSC diberi ruang masa yang selesa untuk melaksanakan reformasi pilihanraya, memasukkan isu pemberian kerakyatan warga asing yang menjadi kontroversi sebagai terma rujukan dan menunaikan segala cadangan PSC demi reformasi pilihanraya sebelum PRU 13 berlangsung.

Menurut Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub, lima syarat tersebut dibuat bagi menjamin untuk kerjasama penuh Najib dalam memastikan Pilihan Raya Umum (PRU) ke 13 nanti berlangsung secara bersih dan adil.

Malah katanya, Najib perlu memberikan jawapan terhadap lima syarat itu sebelum sesi Parlimen yang akan bermula 3 Oktober ini.

"Kita bersedia menawarkan khidmat kami dalam PSC untuk kebaikan dan tunjukkan jiwa besar kita untuk rakyat dan negara kita. Kita bersedia menawarkan khidmat bakti untuk PSC tapi kita mahu memastikan jaminan setia oleh Najib sebelum 3 Oktober ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media Pakatan di ibu pejabat PAS di Kuala Lumpur pagi ini, bersama Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar dan Ketua Pemuda DAP Anthony Loke.

Dalam pada itu, Salahuddin yang juga Naib Presiden PAS berkata, Najib tidak perlu tergopoh-gapah untuk membubarkan parlimen sebelum membuat pembaharuan sistem pilihan raya.

Menurut Salahuddin, ini kerana Pakatan Rakyat mahu terlibat sama menentukan tarikh pilihan raya umum bagi membolehkan cadangan pembentukan jawatankuasa khas parlimen (PSC) berhubung pembaharuan pilihan raya mempunyai masa mencukupi menjalankan tugas seperti yang dipersetujui oleh Parti Konservatif dan Parti Liberal Demokrat di United Kingdom pada pilihan raya mereka tahun lalu.

Oleh itu, Pakatan Rakyat akan menghantar surat kepada Najib dalam waktu terdekat agar jaminan tersebut menjadi asas kepada jawatankuasa berkenaan.

"Ini boleh jadi perkara yang boleh cipta sejarah dalam negara kita, apa salahnya jika kita boleh duduk bersama untuk kebaikan semua..kita buat dalam satu kerjasama satu kesepakatan untuk menetapkan tarikh pilihan raya," kata beliau.

Sementara itu, Ahli Parlimen Rasah, Anthony Loke berkata, pihaknya meminta agar Parlimen tidak dibubar dalam masa 6 bulan mengikut skop tempoh masa PSC bagi menjamin kelangsungan tugas jawatankuasa terbabit.

"Cadangan dan laporan perlu dibentang di Parlimen pada sesi parlimen depan. Kita juga mahu jaminan Parlimen tidak dibubarkan sebelum sidang parlimen tahun depan, kerana jika parlimen dibubarkan dalam tempoh 6 bulan ini bermakna PSC akan dibubar secara automatik dan cadangan mereka akan tidak sah. Ia hanya bakal menjadi sandiwara politik BN," kata beliau.
Tegas Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar, pihaknya juga mahu PSC dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz memaklumkan secara terus segala maklumat berhubung jawatankuasa terbabit dan bukan hanya melalui kenyataan media massa sahaja.

"Setakat ini kami dimaklumkan hanya menerusi berita sahaja. Semuanya tidak menerusi hubungan langsung. Kami harap Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz boleh berhubung terus dengan kami," tambah Izzah juga Naib Presiden PKR.

No comments: