Fitnah Liwat 2 : Anwar Tidak Pernah Dapat Keistimewaan



SHAH ALAM 12 SEPT : Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak pernah mendapat layanan istimewa sepanjang perbicaraan kes fitnah liwat kedua yang dihadapinya kini, menurut Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Malah katanya, Anwar seringkali berdepan dengan diskriminasi serta dinafikan haknya sebagai orang kena tuduh (OKT) untuk mendapatkan pelbagai dokumen pendakwaan untuk pembelaan tuntas.

Shamsul berkata demikian mengulas dakwaan Timbalan Menteri Pertanian dan Asas Tani, Datuk Mohd Johari Bahrom kononnya Anwar dengan sengaja melengah- lengahkan perbicaraan kesnya demi meraih simpati dan sokongan rakyat.

Kenyataan Johari yang disiarkan akhbar Berita Harian semalam turut mendakwa, Anwar turut mendapat layanan istimewa berbanding tertuduh lain sepanjang perbicaraan keatasnya berlangsung.

“Johari Baharom tidak faham undang- undang dan kenyataan itu adalah kenyataan yang lahir daripada pengetahuan yang cetek tentang perkembangan kes dan juga undang-undang itu sendiri.
“Dalam kes ini tidak timbul istilah Datuk Seri Anwar memohon penangguhan dan terdapat layanan istimewa dan sebagainya. Prosedur yang diikuti ialah prosedur yang telah ditetapkan undang- undang. Dan tidak ada satu pun kita lihat layanan yang istimewa misalnya dibebaskan tanpa bayaran ikat jamin dan sebagainya,” katanya.

Shamsul yang juga seorang peguam berkata perbicaraan kes Anwar berjalan mengikut jadual dan tidak ada usaha untuk melambat- lambatkan perjalanan kes.
Malah segala tindakan yang diambil pihak pembelaan adalah mengikut prosedur undang- undang dan menjadi haknya sebagai orang yang didakwa.
Shamsul menambah, tindakan Johari mengulas kes yang sedang dalam perbicaraan boleh dianggap sebagai memberi tekanan dan menghina mahkamah.
“Pada saya kenyataan Johari baharom boleh dikenakan satu tindakan atau dituduh sebagai menghina mahkamah kerana perbicaraan sedang berlangsung dan Datuk Seri Anwar pun ketika memberi percakapan daripada kandang tertuduh di hadapan hakim, hakim sendiri pun tidak mengambil sikap untuk melakukan pendakwaan menghina mahkamah terhadap beliau,” tegasnya.
Ekoran kenyataan Johari itu, Shamsul meminta Hakim Datuk Zabidin Mohd Diah menggunakan kuasa beliau sebagai hakim untuk memberi amaran kepada mereka yang menghina mahkamah ketika kes masih berlangsung.