MUSA AMAN YANG TAK LAGI AMAN????

Musa Aman Tinggalkan UMNO?



SENARIO Politik UMNO Semenanjung Malaysia yang semakin parah menyebabkan para pemimpin UMNO Sabah telah bermuafakat untuk melepaskan diri daripada sumpahan keramat UMNO dengan meremajakan semula sebuah parti tempatan.



Rungutan ramai Ketua UMNO Bahagian di Sabah semakin kedengaran sehingga ramai berani menuding jari kepada Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Shafie Apdal yang dikatakan enggan menolong mereka yang selama ini hidup di celah ketiak UMNO dan membuang najis di tandas pembangkang!


Shafie yang sebelum ini begitu mudah didekati tiba-tiba berubah menjadi magnet yang bertemu medan yang sama sehingga ada pemimpin UMNO Sabah terpaksa menunggu sehingga 2 jam setengah untuk bertemu Shafie yang sibuk melayan ‘rakan baru dalam dunia baru’ Naib Presiden UMNO yang bertunjangkan kuasa.


Desakan akar umbi membuatkan Ketua UMNO Bahagian dan YB-YB UMNO semakin kehilangan bisa apabila akar umbi yang akan menentukan kedudukan pucuk pimpinan UMNO dan bukan lagi kuasa mutlak Ketua Bahagian menyebabkan ramai Ketua Bahagian UMNO Sabah mula mendesak Ketua Kumpulan mereka untuk keluar daripada Gagasan UMNO kerana sudah mengabaikan kepentingan mereka.


Kehadiran ramai Ketua Bahagian PPRT dan YB PPRT di Sabah menyebabkan Ketua Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk seri Panglima Musa Haji Aman, semakin berjaya mencengkam tulang sum-sum para pemimpin ‘Nasi Tambah’ ini agar tidak meninggalkan pinggan dan menjadi logistik politik memperkasa pengaruhnya.



Tetapi lazimnya di Sabah, Ketua Menteri atau pemimpin yang merasakan diri mereka tidak diperlukan lagi atau berkonfrantasi dengan pemimpin Pusat akan terus dicantas dan terpaksa mencari wadah politik baru untuk meneruskan perjuangan seperti yang dilakukan Tun Fuad Stephens, Datuk Harrris Salleh, Datuk Seri Pairin Kitingan dan mungkin juga Musa Aman.
Secara logiknya, kepimpinan Musa masih diperlukan di Sabah kerana semua pemimpin pelapis belum ada yang mencapai tahap ‘300 Million Dollar Man’ yang menjadi kriteria utama Tan Sri Chong Kah Kiat memilih penggantinya semata-mata memikirkan Musa akan berkhidmat secara jujur dan amanah kepada rakyat kerana telah mempunyai banyak wang.



Sebagai ‘Ketua Menteri Lurus Bendul’ Chong Kah Kiat terpedaya dengan helah Musa Aman bagaikan tamsilan ‘Belanda Meminta Tanah’ yang menggunakan belulang kerbau. Chong Kah Kiat terlupa bahawa Musa adalah ‘Peniaga’ semula jadi dan menjadi Usahawan Baku bukan dengan menjual ‘gigi dan gusi’ seperti usahawan yang dilahirkan UMNO.



Bagi Musa, walaupun merasakan dirinya bagaikan telur di ‘Hujung Tanduk’ setelah tali hayat layang-layangnya diputuskan dengan pengunduran ‘Teman Seperjuangannya’, Tun Abdullah Ahmad Badawi bagi memberikan laluan kepada Dato Seri Mohd Najib Tun Razak menggantikan Pak Lah sebagai Perdana Menteri.



Gelincirnya Pak Lah ditampuk kuasa menyebabkan Musa terpaksa menggunakan ‘kuasa beli’ yang ada padanya untuk memperkasa akar politiknya yang mula malap sebaik sahaja Shafie memenangi jawatan Naib Presiden UMNO kerana Musa telah melalukan pelbagai cara untuk memastikan Shafie kempunan, namun semuanya tidak menjadi apabila Shafie berjaya menghadapi saiwar Musa.



Sengketa politik Musa dan Shafie semakin ketara walaupun mereka bersaudara kerana adik Shafie, Haji Hamid bernikah dengan anak saudara Musa, namun pepatah Inggeris mengatakan ‘Blood Thicker Than Water’ begitu mengesankan Shafie apabila beliau mengukuhkan kedudukannya dengan membawa adik kandungnya yang juga menantu kesayangan Tun Sakaran, Haji Mohd Yusof yang telah dua kali ‘diperdaya’ Musa sehingga gagal menjadi Ketua UMNO Bahagian Silam.



Jika Tun Sakaran mencaturkan anaknya, Datuk Nasir, sebagai ‘Pewaris Kesultanan Sabah’ daripada Musa, Shafie juga mengukuhkan kedudukannya dengan melantik salah seorang anak Tun Sakaran Dandai iaitu Abdul Razak sebagai pegawai khasnya.


Dengan King dan Queen yang berada di tangan Shafie, beliau boleh melakukan ‘Check Mate’ pada bila-bila masa untuk kembali ke Sabah menggantikan Musa melalui Pilihanraya Kecil kerana banyak kerusi UMNO yang semakin goyah jika skandal seks dan rasuah pemimpin di pantai timur terbongkar kepada media.


Ada juga Pendatang Asing Tanpa Izin yang berjaya meresap masuk ke dalam UMNO dan kini menjadi YB setelah berjaya memadamkan rekodnya di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja ketika memegang kad pengenalan merah setelah mengeluarkan semua caruman dan kembali semula ke Sabah dengan menggunakan nama yang sama tetapi kad pengenalan projek yang nombornya kebanyakan rakyat Sabah sedia maklum.


Ada juga YB yang rendah moralnya, mencari pelacur di negara jiran tertangkap dan dipenjara kerana memasuki negara tersebut secara haram dan apabila dilepaskan bertanding atas tiket UMNO dan menang dengan alasan dangkal jenayah, iaitu dilakukan di luar negara.


Ramai juga YB yang mempunyai rekod buruk dengan SPRM dan Lembaga Hasil Dalam Negeri dan inilah makanan yang terbaik bagi Shafie untuk mendesak pilihanraya kecil bagi memperbaiki rekod UMNO jika mereka gagal mempertahankan kerusi DUN Bagan Pinang, Negeri Sembilan.


Dalam keadaan tersepit ini, Musa terpaksa mencari jalan pintas kerana jika melalui jalan biasa beliau akan digugurkan menjelang pilihanraya akan datang, atas apa juga sebab yang boleh direka kerana sejarah membuktikan Anwar Ibrahim tersungkur di kerusi Nombor 2.


Satu-satunya alternatif yang Musa ada ialah menubuhkan parti baru berasaskan tempatan kerana UMNO bukan lagi ‘Teman Sejati’ sebagaimana sejarah Mahathir-Harris yang memadu janji untuk ‘Swim and Sink’ bersama. Akhirnya, Mahathir ‘Swim’, Harris ‘Sink’ di lautan politik ciptaan beliau sendiri.


Bagi mengimbangi kekuatan SAPP yang mula menjalar ke akar umbi melalui teori ‘Blue Ocean Strategy’ yang dilaksanakan Presidennya Datuk Yong Teck Lee, pola dan lanskap politik Sabah akan berubah secara mendadak terutama apabila terdapat desas desus Yong akan mempelawa pemimpin bumiputera Islam untuk memimpin SAPP pada pilihraya umum akan datang.


Kesediaan Yong mengorbankan jawatannya sebagai Presiden Parti dan meremajakan semula SAPP dilihat sebagai faktor pendesak UMNO harus berundur daripada Sabah setelah gagal meletakkan Sabah di atas landasan sebenar dengan menjanjikan Sabah Baru pada 1994.


Kemerosotan Parti Bersatu Sabah (PBS) yang dilanda pelbagai krisis ‘ribut dalam cawan’ akan memberi kekuatan kepada UPKO untuk menunjangi sokongan padu di kawasan Kadazandusunmurut (KDM) yang selama ini merasakan diri mereka dianak tirikan.


Ramai mengalu-alukan usaha Musa untuk menjurutera semula kerangka jentera parti tempatan yang telah lama wujud namun belum mencipta sebarang rekod dalam beberapa pilihanraya lalu dan dengan sentuhan Musa yang telah berjaya menjadikan UMNO Sabah sebagai UMNO Sdn.Bhd, akan memberi tentangan yang setara kepada SAPP yang akan berdiri sendiri sebagai sebuah entiti baru politik setelah melalui peringkat pengubahsuaian dan pemerkasaan.


Persoalannya, kenapa Musa harus menderhaka kepada UMNO Pusat sedangkan tanpa suaka politik UMNO, Musa sudah lama gugur oleh Skandal 81 Dalil Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan desas-desus penglibatannya dengan Skandal Penggubahan Wang Haram di Hong Kong yang dilakukan oleh ‘orang yang tidak dikenalinya’ tetapi orang itu mendapat tujuh konsesi pembalakan daripada Ketua Menteri Sabah?


Jawapan hanya ada pada Musa atau para penyokongnya sebagaimana sejarah Pairin yang gagal menakhodai Bahtera Titanic PBS sehingga terlanggar batu karang poltik dan terdampar di Istana Pasir Barisan Nasional!.



Oleh: HAFIZ JAMAIL


Nota: Pandangan Hafiz Jamail ini adalah pandangan peribadi beliau sendiri melalui kajian dan pengamatan beliau dan tidak mencerminkan pandangan Sabahkini.net. Hafiz adalah penghantar saman atau bailif yang telah menghantar saman kepada Musa Aman dalam kes BDC di Sandakan.