'Ingatan saya masih baik' - Anwar


Azamin Amin
Wed Jan 30, 08 10:47:14 am MYT

KUALA LUMPUR, 30 Jan (Hrkh)-Penasihat Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Dato' Seri Anwar Ibrahim kecewa dengan Suruhanjaya Bebas Diraja khususnya keputusan Tan Sri Haidar Mohamed Nor berkaitan Pita Lingam yang tidak memanggil beliau sebagai saksi.

"Ini menimbulkan tanggapan ada kuasa-kuasa di belakang tabir yang menentukan keputusan tersebut. Kuasa-kuasa ini cukup berpengaruh sehinggakan Suruhanjaya ini tidak akan teragak-agak untuk berbuat apa sahaja bagi menafikan saya memberikan bukti," katanya dalam satu sidang media di pejabatnya di Petaling Jaya dekat sini, semalam.

Beliau turut kesal para pesuruhjaya khususnya Haidar tidak mengambil peluang mencari punca sebenar skandal ini, sebaliknya menghabiskan masa mereka dengan isu-isu prosedur dan tafsiran yang terhad tentang bidang kuasa mereka.

Secara sinis Anwar juga menyatakan bahawa beliau merupakan antara saksi yang masih mempunyai ingatan yang baik berbanding beberapa saksi seperti bekas Perdana Menteri dan Ketua Hakim Negara yang telah lupa kejadian yang berlaku.

"Ingatan saya masih baik berbanding Mahathir dan Eusoff Chin yang sudah banyak lupa apa yang berlaku.

"Lebih baik panggil saya sebagai saksi sekarang. Jangan tungggu 10 atau 15 tahun akan datang, kerana mungkin akan lupa macam mereka berdua juga," katanya yang disambut gelak tawa para wartawan yang hadir.

Dalam masa sama beliau menyeru Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk mengambil tindakan segera bagi menjelaskan terma rujukan bagi memastikan bukti rasuah termasuk penetapan keputusan mahkamah bermula dengan penyingkiran bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abbas diterimapakai di dalam siasatan ini.

Sementara itu menjelang pilhan raya ini, beliau turut mendedahkan Umno sudah mula menyebarkan dan mengulangi fitnah lama terhadap beliau dan KeADILan yang diedarkan melalui VCD dan risalah, antaranya disebarkan di Permatang Pauh, Pulau Pinang.

"Mereka sekali lagi tuduh saya sebagai agen Yahudi, pro-India dan pro-Cina. Kalau berani, saya cabar mereka untuk 'bertarung' dan berdebat secara terbuka dan menjawab semua isu-isu semasa.

"Apalah yang nak dibanggakan dengan Islam Hadhari yang diuar-uarkan? Di luar negara nak tunjukkan bahawa kerajaan ada toleransi, tapi realitinya menguasai dan control kita seperti sebuah negara komunis," katanya.

Saya juga menyeru Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk mengambil tindakan segera bagi menjelaskan terma rujukan bagi memastikan bukti rasuah termasuk penetapan keputusan mahkamah bermula dengan penyingkiran bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abbas diterimapakai di dalam siasatan ini.-az