Suwandi didakwa saat-saat akhir untuk batalkan siasatan awam Suhakam? |
Awang Harun |
KUALA TERENGGANU, 13 Dis (Hrkh) - Tindakan pihak Jabatan Peguam Negara, pada saat-saat akhir, mendakwa Suwandi Ab Gani, 38, dan Muhammad Azman Aziz, 21, dua orang yang ditembak seorang anggota polis dengan menggunakan peluru hidup dalam tragedi berdarah Batu Burok, telah menghalang Suhakam untuk meneruskan siasatan awam seperti yang telah dirancangkan. |
Sehubungan itu, Pengerusi Panel Siasatan Awam Terhadap Dakwaan Penggunaan Peluru Hidup Semasa Insiden 8 September 2007 di Batu Burok, Dato' Muhammad Shafee Abdullah secara rasmi mengumumkan pembatalan siasatan awam.
Semua sapina yang telah dikeluarkan juga turut dibatalkan.
Muhammad Shafee berkata, tindakan Suhakam mengendalikan siasatan awam itu berdasarkan semata-mata akan fakta bahawa selepas hampir tiga bulan dari kejadian 8 September tersebut, tidak ada mana-mana pihak pun termasuk polis dan Jabatan Peguam Negara yang mengambil tindakan mahkamah terhadap insiden tersebut.
Menurutnya, pada 14 November lalu, Suhakam telah mengadakan satu sidang akhbar mengumumkan keputusan yang dibuat semasa mesyuarat suruhanjaya itu yang ke-93 pada 12 November bahawa satu panel yang terdiri daripada tiga pesuruhjaya akan membuat satu siasatan berkenaan dengan insiden tembakan tersebut.
"Malangnya, dari tarikh tersebut hingga 9 Disember 2007, yakni hampir sebulan, pihak pendakwaan tidak langsung memberi gambaran yang insiden tersebut akan menjadi satu tindakan dalam mahkamah. Pendakwaan terhadap dua orang awam ini, hanya empat hari dibuat sebelum siasatan awam Suhakam dijadualkan berlangsung, dan ia amat mengecewakan,� ujarnya pada sidang media di sebuah hotel di sini, hari ini.
Pesuruhjaya Suhakam, Tan Sri Asiah Abu Samah dan Prof Emeritius Dato' Khoo Kay Kim turut hadir pada majlis yang disertai sama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Wakaf Mempelam yang juga Bendahari PAS negeri, Mohd Abdul Wahid Endut dan Ketua Polis Negeri, Dato' Ayub Yaakob.
Muhammad Shafee menambah, Suhakam akan memantau perjalanan perbicaraan yang akan diadakan pada 30 dan 31 Disember ini untuk memastikan perbicaraan tersebut adalah berlandaskan kepada hak-hak asasi manusia.
Suwandi dan Azman kini ditahan di Penjara Terbuka Marang setelah Hakim Mahkamah Sesyen, Hassan Abdul Ghani pada 9 Disember lalu tidak membenarkan mereka diikat jamin.
Mereka menghadapi empat tuduhan, antaranya didakwa menunjukkan kekerasan jenayah untuk menakutkan pegawai polis yang menjalankan tugas yang sah di sisi undang-undang, seorang atau lebih daripada anggota perhimpunan telah dengan sengaja cuba menyebabkan cedera parah kepada Wan Aziz Wan Omar (RF143706), seorang penjawat awam.
Kesalahan itu di bawah Seksyen 149 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen 333 dan Seksyen 511 kanun yang sama di mana sabit kesalahan boleh dihukum penjara untuk tempoh lima tahun atau denda.
Semua tuduhan itu membabitkan mereka bersama-sama 18 orang yang lain pada 8 September lalu, lebih kurang jam 11.40 malam di tempat letak kereta Hotel Permai Inn, Jalan Sultan Mahmud kerana menyertai perhimpunan yang menyalahi undang-undang.