Kerajaan saman 10 AJK BERSIH, tuntut ganti rugi khas RM122 ribu

Kerajaan Persekutuan telah memfailkan saman menuntut ganti rugi terhadap Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pemandu BERSIH, S. Ambiga dan 9 orang jawatankuasa pemandu yang lain, menuntut ganti rugi khas sejumlah RM122 ribu, lantaran daripada kerosakan harta benda yang ditanggung kerajaan Malaysia.

S Ambiga bersama 9 orang AJK Pemandu yang lain dituduh mengingkari tugas dan tanggungjawab statutori di bawah seksyen 6(2)(g) Akta Perhimpunan Aman 2012 serta cuai menjalankan tugas mereka sehingga menyebabkan kerosakan harta benda Plaintif, iaitu kerajaan Malaysia.

Senarai AJK yang disaman termasuklah Maria Chin Abdullah, Zaid Kamarudin, Haris Fathillah b. Mohamed, K.Arumugam, Arul Prakkash, Wong Chin Huat, Ahmad Farouk, Toh Kin Woon dan Andrew Khoo.  Bagaimanapun, Pengerusi Bersama BERSIH, iaitu A.Samad, dan seorang lagi AJK Hishamuddin Rais, tidak disenaraikan sebagai defenden.
Mahkamah Tinggi Malaya Kuala Lumpur telah mengeluarkan perintah agar kesemua defenden menghadirkan diri dalam tempoh 12 hari selepas penyampaian writ ini ke atas mereka (termasuk hari penyampaian).
Menurut writ saman yang dikeluarkan, "perhimpunan tersebut (BERSIH 3.0 pada 28 April 2012) menjadi tidak aman kerana peserta-peserta perhimpunan tersebut telah merempuh halangan/sekatan dan telah menyebabkan kerosakan harta benda".
Plaintif, iaitu pihak kerajaan persekutuan Malaysia memetik seksyen 6(2)(g) Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736), bahawa defenden mempunyai tanggungjawab antara lainnya untuk memastikan bahawa perhimpunan yang diadakan tidak akan menyebabkan kerosakan harta benda.  Plaintif menegaskan bahawa defenden-defenden telah gagal untuk melaksanakan tugas dan/atau tanggungjawab statutori tersebut apabila perhimpunan tersebut menjadi tidak terkawal dan bertukar menjadi rusuhan dan menyebabkan kerosakan kepada kenderaan-kenderaan milik plaintif.
Writ saman tersebut seterusnya menyenaraikan 15 butiran kos kerosakan kenderaan plaintif, dengan tuntutan ganti rugi khas sejumlah RM122,000, ditafsir oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).  Selain itu, plaintif juga menuntut agar defenden membuat satu deklarasi bahawa defenden sebagai penganjur telah mengingkari seksyen 6(2)(g) Akta Perhimpunan Aman 2012, ganti rugi am, faedah dan ganti rugi khas atas kadar 4% setahun dikira daripada tarikh saman dan pernyataan tuntutan difailkan sehingga tarikh penghakiman dan sebagainya.
Butiran kecuaian defenden yang disenaraikan termasuklah:-
1.Membawa peserta perhimpunan yang terlalu ramai tetapi gagal untuk mewujudkan/mengadakan kawalan yang efektif dan secukupnya;
2. Gagal mengambil langkah-langkah yang sewajarnya untuk memastikan perhimpunan tersebut berjalan dengan aman; dan
3. Gagal melantik bilangan orang yang perlu untuk bertanggungjawab bagi mengendalikan perhimpunan dengan teratur.

No comments: