HIMPUN yang tidak Berhimpun

HIMPUN yang tidak Berhimpun

Mujahid Yusof Rawa

Ada berbagai makna yang hendak disampaikan dalam perkataan HIMPUN, dari segi tata bahasa "himpun" bermakna mengumpul sesuatu atau orang di sesuatu tempat. Berhimpun adalah perbuatan di mana terkumpul semua orang atau sesuatu di sesuatu tempat. Sebab itulah kata "perhimpunan" atau "himpunan" ialah keadaan di mana semua orang dikumpulkan untuk menyatakan sokongan atas sesuatu. Menarik kerana nama sayap baru PAS ialah Dewan Himpunan Penyokong PAS atau singkatannya DHPP di mana bukan Islam dikumpulkan dan disatukan dalam sayap ini.

Namun artikel ini tidak akan menyentuh tentang PAS dan usahanya menarik minat bukan Islam untuk menyertainya, artikel ini ialah tentang satu perhimpunan pada 22 Oktober baru-baru ini yang dinamakan sebagai Himpunan Sejuta Umat.

Selalunya bilangan kehadiran akan menjadi kayu pengukur untuk penganjur menyatakan berjaya atau tidaknya sesuatu perhimpunan. Tema sejuta umat sudah tentu menjadi hasrat penganjur untuk mencapai bilangan yang diinginkan, namun dari sudut quantiti HIMPUN tidak mencapai bilangan yang digembar-gemburkan, dikatakan hanya 5,000 orang sahaja yang hadir. Implikasi kehadiran dalam program seumpama ini amatlah besar untuk kita menilai tahap keupayaan mobilisasi penganjur yang sebelum tarikh perhimpunan telah mendapat liputan yang meluas oleh media arus perdana.

HIMPUN tidak dapat dielak dari menjadi mangsa perbandingan dengan perhimpunan BERSIH 2.0, malah ada sesetengah berpendapat HIMPUN adalah untuk mengatasi BERSIH yang bilangan kehadirannya jauh lebih besar walaupun tidak pernah mensasarkan sejuta peserta. HIMPUN juga dikatakan untuk mengalih isu daripada persoalan demokrasi tempang dan penipuan pilihanraya kepada persoalan aqidah yang perlu diselamatkan. Isu agama memang menarik kerana ia merentasi kepentingan politik namun perhimpunan sejuta umat itu telah membuktikan bahawa tema itu tidak mendapat perhatian umat Islam. Apakah yang telah berlaku? Betulkah gagal mencapai sasaran kehadiran HIMPUN diandaikan umat Islam tidak berminat kepada isu Aqidah dan secara perbandingan dengan BERSIH lebih minat isu demokrasi berpilihanraya?

Saya tidak melihat andaian itu tepat, ini adalah kerana persepsi terhadap perhimpunan HIMPUN mempengaruhi kehadiran. Bagi umat Islam, mereka menanggap bahawa HIMPUN ditaja oleh mereka yang mesra UMNO dan kerana itu berasa berat hati untuk hadir. Walaupun isu Aqidah sesuatu yang menarik minat tetapi umat Islam sudah menghidu bahawa HIMPUN adalah agenda pihak tertentu yang lebih minat untuk menonjolkan dirinya dan kumpulannya daripada memperjuangkan persoalan aqidah yang sebenarnya.

Selain dari tokoh seperti Cikgu Azmi dari TERAS, siapakah yang boleh diyakini daripada tokoh yang hadir akan mempertahankan aqidah umat Islam? NGO seperti PERKASA, GPMS dan pertubuhan belia tajaan UMNO tidak pernah dilihat mempertahankan aqidah apabila dikaitkan dengan UMNO. Saya tidak melihat NGO Islam yang lain mampu mobilisasi pengikutnya dalam jumlah bilangan yang ramai, kehadiran mereka hampir tenggelam dengan penonjolan pihak lain atau kehadiran mereka sengaja tidak ditonjolkan.

Pada 19 Oktober saya menulis satu artikel tentang Himpunan Sejuta Umat yang bakal diadakan. Saya mengandaikan ia sebagai satu agenda yang akan diambil kesempatan oleh pihak lain yang terdesak walaupun niat penganjur itu suci dan murni. Dalam Facebook saya, saya menerima komen bertalu-talu yang menganggap saya keterlaluan menuduh niat murni sekretariat, tetapi pada 22 oktober andaian saya seakan-akan betul apabila kehadiran yang mengecewakan itu seolah-olah menjelaskan persoalan persepsi umat Islam terhadap perhimpunan tersebut.

HIMPUN di sebalik niat murni penganjurnya telah memberikan isyarat yang tidak baik.

Pertama, kehadiran melambangkan lemahnya umat Islam dalam isu mempertahankan aqidah. Secara perspektifnya "musuh Islam" akan ketawa apabila melihat keberangan umat Islam sebenarnya hanyalah ribut dalam cawan sahaja.

Kedua, sikap double standard pihak polis yang memberikan kebenaran kepada HIMPUN dan tidak memberikannya kepada BERSIH. Ini sudah cukup memberikan persepsi yang buruk kepada HIMPUN, walhal isu HIMPUN lebih mendatangkan sensitiviti kepada perpaduan nasional berbanding dengan BERSIH yang secara spesifik menyinggung persoalan demokrasi berpilihanraya yang merentasi semua kaum dan agama.

Ketiga, isu yang diketengahkan di negara ini ditentukan oleh UMNO dan bukan oleh tuntutan massa. Selagi ia menguntungkan UMNO maka Polis dan lain-lain terpaksa tunduk, selagi ia memudaratkan UMNO maka isu itu akan dianggap berbahaya kepada keselamatan awam. Negara kita sudah dijajah oleh UMNO, hanya penjilat sahaja yang akan diberi layanan baik manakala penentang walaupun merupakan aspirasi ramai akan dituduh sebagai pengkhianat negara yang akan mencetuskan huru-hara.

Ada seorang sahabat bertanya kepada saya mengapa PAS tidak menyertainya? Saya menjawab ringkas, soal pembelaan aqidah sememangnya sinonim dengan PAS. PAS sudahpun mengatakan kebimbangannya sejak 20 tahun yang lampau malah Presiden PAS telahpun membawa usul adanya rang undang undang murtad bagi memelihara aqidah umat Islam. Sahabat ini terus bertanya kalau begitu mengapa tidak bersama? Saya menyatakan, perjuangan kami sampai ke tahap yang lebih matang, kami telahpun mengadakan dialog dengan pihak gereja dan lain-lain agama sebagai hasrat membentuk hubungan agama yang lebih damai, ini bukan bermakna PAS cair dalam sikapnya tetapi kami lebih suka melakukannya dengan cara bersemuka dan dialog. Kepimpinan PAS lebih bijak membaca suasana politik daripada mereka yang berjangka pendek dan tidak arif selok belok politik. Saya bertanya balik kepada sahabat saya, bolehkah dibayangkan kalau Mursyidul Am PAS mengarahkan semua ahli PAS turun dalam program HIMPUN? Mungkin stadium Shah Alam tidak akan dapat menampung kehadiran ahli PAS yang ramai, bolehkah anda bayangkan besarnya peranan PAS dalam menyelamatkan Aqidah umat Islam?

*Mujahid Yusof Rawa adalah ahli parlimen Malaysia, merangkap Pengerusi Perpaduan Nasional PAS.

No comments: